Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 9 Dis -- Thunder Cranes Sdn Bhd berjaya memperoleh kontrak tiga tahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) membabitkan pembekalan perkhidmatan sewa kren luar pesisir di aset-aset milik PCSB di Malaysia.
Mengikut kontrak terbabit, Thunder Cranes akan membekalkan kren modular yang juga peneraju pasaran berserta kelengkapan termasuk pek tenaga, sistem berkaitan serta barisan pekerja yang berpengalaman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chris Poheng berkata kren modular syarikat itu dilengkapi dengan ciri mengangkat secara kendiri dan direka khusus agar mudah disesuaikan dengan pilihan penetapan, konfigurasi penetapan di lokasi atau dek serta pilihan jarak terbabit.
Ciri serba boleh itu juga memberi kelebihan kepada Thunder Cranes dari segi kesesuaian mengikut keperluan operasi luar pesisir PCSB, katanya.
“Sejajar dengan kejayaan menyokong usaha PCSB di Malaysia, kami amat berbesar hati diberi kepercayaan mengendalikan kontrak ini dan meneruskan sokongan terhadap usaha kumpulan itu sehingga 2023.
“Kalangan pekerja kami amat mahir dengan aset-aset terbabit dan lantikan bagi kontrak ini membuktikan tahap perkhidmatan Thunder Cranes yang berkualiti tinggi. Kami juga berharap untuk terus melaksanakan standard yang berkualiti dan selamat di semua aset PCSB yang dikendalikan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Syarikat itu beroperasi di serata rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah membabitkan keperluan perkhidmatan mengangkat di kedua-dua platform segmen luar pesisir dan FPSO (kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung).
Selain itu, penyelesaian yang ditawarkan syarikat itu digunakan bagi sokongan termasuk intervensi, palam, kemudahan kejuruteraan dan aktiviti penamatan operasi kemudahan di lokasi terbabit.
Syarikat itu juga mempunyai rekod prestasi standard tinggi dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam industri itu.
“Seiring dengan kedudukan sebagai syarikat diperakui ISO 9001:2015 dengan kos operasi cekap serta pekerja yang serba mahir, Thunder Cranes akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dengan memenuhi atau melangkaui keperluan pelanggan.
“Pada masa sama, syarikat juga berhasrat meningkatkan lagi kecemerlangan dalam prestasi HSE (kesihatan, keselamatan dan alam sekitar) selain memantapkan peralatan untuk kegunaan kren dan operasi mengangkat,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]