Berita

Petronas, Sarawak meterai perjanjian penyelesaian komersial, bentuk rangka kerja perundingan

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Dis -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan negeri Sarawak hari ini memeterai perjanjian penyelesaian komersial mengenai isu-isu yang melibatkan cukai jualan dan undang-undang perlombongan minyak negeri itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata perjanjian penyelesaian komersial tersebut akan mewujudkan rangka kerja antara syarikat minyak nasional itu dan kerajaan negeri yang membolehkan Sarawak terlibat lebih aktif dalam aktiviti minyak dan gas darat menerusi Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

"Di bawah perjanjian penyelesaian komersial ini, kedua-dua Petronas dan kerajaan negeri bersetuju membentuk rangka kerja perundingan bagi meningkatkan kerjasama menerusi kaedah rasmi dan berstruktur terdiri daripada jawatankuasa penyelarasan bersama dan dialog strategik tahunan. 

"Platform ini akan dipengerusikan bersama antara Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh," katanya pada majlis permeteraian perjanjian itu, hari ini, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta Abang Johari. 

Perjanjian penyelesaian komersial itu dimeterai oleh Tengku Muhammad Taufik, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Mohamed Firouz Asnan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan pemangku Peguam Besar Negeri Sarawak Saferi Ali. 

Tengku Muhammad Taufik berkata perjanjian itu akan membuka ruang kerjasama baharu antara Petronas dan Petros, termasuk pembangunan Pelan Induk Gas Sarawak dan usaha berterusan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada vendor Sarawak. 

"Menerusi perjanjian ini, Petronas berharap pemberian lesen yang lebih cepat dan pemprosesan perkara berkaitan dengan tanah dan imigresen serta perkara-perkara lain di bawah bidang kuasa negeri akan dipermudahkan bagi memastikan industri minyak dan gas negeri terus berkembang,” katanya. 

Menurutnya, hubungan Petronas dengan Sarawak menjanjikan pulangan ketara kepada negeri itu kerana kedua-duanya berkongsi aspirasi yang sama bagi sektor minyak dan gas negeri.

Beliau berkata selain memanfaat dan menambah nilai kepada sumber hidrokarbonnya, Petronas berpeluang untuk terlibat bersama kerajaan negeri dan agensi-agensinya dalam usaha memperkasakan rakyat menerusi pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan serta alam sekitar. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata permeteraian perjanjian penyelesaian komersial itu menandakan bermulanya kebangkitan perlombongan darat di Sarawak, satu-satunya tempat di Malaysia yang mempunyai aktiviti petroleum huluan. 

Beliau berkata kerajaan negeri telahpun mengeluarkan dua pajakan perlombongan minyak kepada Petros merangkumi kawasan di Miri dan berdekatan Marudi untuk memulakan operasi petroleum. 

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Petronas untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran mesra pelaburan yang stabil, kondusif bagi pembangunan dan pertumbuhan mampan industri minyak dan gas, huluan dan juga hiliran di Sarawak,” katanya.   

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]