Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 7 Dis -- Tahun ini industri minyak dan gas diselubungi dengan kebimbangan dan kegusaran hingga menyebabkan harga jatuh menjunam ekoran lebihan bekalan di seluruh dunia dan penurunan permintaan yang disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 yang hampir melumpuhkan aktiviti ekonomi kebanyakan negara.
Kejatuhan mendadak itu adalah disebabkan perang harga kartel minyak dan kerisauan terhadap pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan pasaran dan ekonomi di seluruh dunia.
Krisis telahpun mula berlaku antara pertengahan 2014 dan 2016 dengan harga berada dalam aliran menurun apabila peralihan kepada dolar yang lebih kukuh memainkan peranan penting menyebabkan harga komoditi menyusut sebanyak 70 peratus.
Penurunan itu dianggap sebagai kejatuhan harga minyak terbesar dalam sejarah moden dunia dan merupakan satu daripada tiga penurunan terbesar sejak Perang Dunia Kedua serta yang paling lama bertahan sejak kejatuhan harga yang didorong penawaran pada 1986.
Penularan pandemik COVID-19 telah menyebabkan harga terus jatuh lagi tahun ini, yang membawa kepada penurunan besar nilai aset dalam syarikat minyak dan gas termasuk Royal Dutch Shell RDSa.L, yang mengurangkan nilai aset minyak dan gasnya sehingga AS$22 billon.
Majoriti pemain industri bergelut untuk terus bertahan manakala sesetengahnya menyedari banyak projek yang dirancang mereka tidak lagi berdaya maju dari segi komersial.
IMPAK COVID-19
Kejutan permintaan yang terutamanya disebabkan oleh COVID-19 telah menyebabkan kejatuhan harga minyak di tengah-tengah pelaksanaan langkah-langkah sekatan kesihatan awam yang tegas serta sejajar dengan kawalan pergerakan dan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, tindakan melonggarkan langkah sekatan berkenaan pada suku ketiga ternyata membantu meningkatkan permintaan global walaupun pihak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kini bimbang sebarang lonjakan semula jangkitan COVID-19 boleh menjejaskan pemulihan tersebut.
Jika diamati, minyak pada asasnya banyak digunakan bagi tujuan pengangkutan iaitu 57 peratus daripada jumlah permintaan.
Sudah pasti keperluan atau penggunaannya terjejas apabila ramai yang sebaliknya bekerja dari rumah dan tidak melakukan sebarang perjalanan bagi tujuan perniagaan atau pelancongan.
Malah, usaha mendapatkan semula keyakinan melakukan perjalanan atau pengembaraan itu memerlukan masa sehingga dua tahun dengan syarat terdapat kemudahan vaksin selain sekatan perjalanan ditarik balik.
Profesor Madya Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliviera memberitahu Bernama pada Ogos lepas bahawa permintaan terhadap minyak mungkin kembali mencecah 100 juta tong sehari pada awal tahun depan.
Namun, kewujudan norma baharu akan menyaksikan lebih banyak amalan bekerja dari rumah dan mesyuarat secara dalam talian manakala perjalanan bagi tujuan perniagaan pula kian berkurangan.
“Oleh itu, ada kemungkinan realiti yang kita lihat pada masa ini adalah kejutan kekal untuk industri minyak dan mengurangkan potensi pertumbuhannya yang selama ini secara tradisionalnya berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti ekonomi,” katanya.
Pada masa sama, pilihan tenaga boleh diperbaharui (RE) terus menjadi saingan sengit dengan pengurangan kos dalam penjanaan serta peningkatan bahagian pasaran oleh kenderaan elektrik.
Kesemua faktor di atas berkemungkinan mewujudkan pasaran minyak yang amat kompetitif dengan margin operasi lebih rendah.
Kalangan penggiat industri pula telah bertindak mempelbagaikan pelaburan yang menumpukan ruang serta peluang RE selain turut menyasarkan sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.
Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) juga tidak terkecuali apabila turut menyatakan hasrat untuk mencapai sasaran tersebut selain meningkatkan pelaburan dalam RE.
Petronas yang juga pengeksport gas asli cecair keempat terbesar dunia, juga akan memperhebatkan usaha bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau 'Scope 1' dan 'Scope 2' yang merujuk kepada pelepasan secara langsung daripada operasi dan tenaga elektrik yang digunakannya.
Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes menyifatkan transformasi terbesar industri itu adalah peralihan pengguna kepada perkara yang bersifat tenaga bersih atau hijau.
Namun, untuk sementara waktu ini, industri terbabit lebih banyak menumpukan aspek vaksin.
"Keadaan ekonomi global dijangkakan lebih baik pada 2021. Namun, sebarang lonjakan semula jangkitan COVID-19 akan menjadikan keadaan tidak menentu pada suku pertama 2021 sebelum pengedaran vaksin yang menjadikan keadaan lebih cerah pada tempoh-tempoh berbaki tahun itu,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, ketidakseimbangan yang merentasi sektor tersebut akan terus wujud.
TURUN NAIK HARGA MINYAK
Harga minyak pada separuh pertama 2020 tidak menentu, dengan minyak mentah Brent kini pada purata AS$47.59 (AS$1 = RM4.08) setong, merosot daripada AS$67.31 setong pada tahun lepas.
Harga mencecah paras tertinggi sebanyak AS$71.75 pada Januari, bagaimanapun merosot kepada AS$15.98 setong pada April, terendah sejak Jun 1999.
West Texas Intermediate jatuh daripada paras lebih AS$61 setong pada Januari ke paras terendah dalam sejarah iaitu pada AS$37.6 setong pada April sebelum naik semula sehingga AS$40 pada Jun.
Kejatuhan harga pada April adalah berikutan kegagalan perjanjian OPEC dan permintaan yang merosot disebabkan sekatan pergerakan akibat pandemik.
Ini menyebabkan lebihan bekalan digabungkan dengan kapasiti penyimpanan yang terhad, menjadikan ruang penyimpanan lebih berharga daripada minyak itu sendiri.
Dalam usaha mengurangkan tekanan penyimpanan dan mengimbangi pasaran, OPEC mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 9.7 juta tong sehari pada Mei dan Jun.
Menurut data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (AS), pengeluar AS telah memperlahankan aktiviti penggerudian dan mengurangkan pengeluaran, menjadikan penurunan terbesar pengeluaran minyak mentah sejak 1980.
Pada Mei, harga melonjak hampir 90 peratus kepada AS$35 setong - lonjakan yang besar, tetapi masih di bawah pulang modal kepada kebanyakan pengeluar.
Harga pada Jun dan Julai kekal stabil pada sekitar AS$40 setong berikutan OPEC bersetuju untuk meneruskan pengurangan pengeluaran hingga akhir Julai.
Pada Ogos, pengurangan pengeluaran mula berkurangan tetapi ketidaktentuan mengenai kejutan permintaan disebabkan COVID-19 yang berterusan, boleh menyebabkan pasaran kembali tidak stabil.
Innes berkata apabila ketidaktentuan mereda berikutan keputusan pilihan raya AS dan (dengan) janji program vaksinasi COVID-19 yang berkesan pada 2021, prospek menjadi lebih jelas.
Beliau berkata sepanjang tempoh tahun depan akan dicirikan oleh pertumbuhan global yang melebihi trend dan dasar monetari yang longgar.
“Saya masih berpendapat bahawa harga minyak akan bergelut untuk kembali ke paras sebelum pandemik. Walaupun pelancaran vaksin yang berjaya akan memutuskan hubungan antara jangkitan dan mobiliti, namun, permintaan minyak global hanya akan mencapai kadar sebelum pandemik pada pertengahan 2022,” katanya.
PENGARUH KARTEL MINYAK
Sejak 2017, OPEC bersama-sama 10 negara pengeluar bukan anggota OPEC (OPEC ), terutamanya Rusia, Mexico dan Kazakhstan telah bersetuju mengurangkan pengeluaran untuk mengurangkan bekalan minyak bagi memelihara kestabilan pasaran minyak.
Pada Disember 2019, negara pengeluar yang menyertainya memutuskan untuk meningkatkan lagi pengurangan pengeluaran kepada 500,000 tong sehari kepada 1.7 juta tong sehari berkuat kuasa Januari 2020, tertakluk kepada kepatuhan sepenuhnya negara anggota yang terlibat.
Pada November, OPEC mengurangkan unjuran permintaan minyak global bagi tempoh berbaki 2020 dan 2021, berikutan prospek ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan serta lonjakan kes COVID-19.
Sehingga 1 Dis, lebih 63 juta kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia, dengan 40.5 juta kes pulih dan merekodkan 1.47 juta kematian.
Dalam laporan yang dikeluarkan menjelang mesyuarat kumpulan itu bersama negara sekutu bukan OPEC pada 30 November dan 1 Dis, OPEC berkata ia menjangkakan permintaan minyak dunia akan menguncup kira-kira 9.8 juta tong sehari tahun ke tahun pada tahun ini, mencerminkan semakan semula 0.3 juta tong lagi berbanding penilaian pada Oktober.
Bagi 2021, kartel minyak itu menjangkakan pertumbuhan permintaan meningkat sebanyak 6.2 juta mewakili semakan semula menurun bagi 0.3 juta tong lagi, berbanding laporan pada Oktober.
Kumpulan itu turut mengurangkan unjuran permintaan minyaknya untuk tahun depan daripada jangkaan awal 7.0 juta tong pada Julai.
Ia turut bersetuju untuk mengurangkan bekalan sebanyak 9.7 juta tong sehari bermula 1 Mei, namun selanjutnya kembali kepada 7.7 juta tong sehari pada Ogos.
PRESTASI DI PERINGKAT DOMESTIK
Menurut laporan, Petronas dijangka tidak mengurangkan jumlah tenaga kerjanya pada masa ini, walaupun pemberhentian kerja dilaporkan berlaku dalam industri minyak dan gas di seluruh dunia berikutan harga dan permintaan tenaga yang suram.
Peserta industri, termasuk firma utama seperti Exxon Mobil Corp dan Shell, telah menamatkan lebih 400,000 pekerjaan berkaitan minyak dan gas di peringkat global bagi tahun ini setakat ini.
Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi suku ketiga berturut-turut tahun ini ekoran harga minyak dan gas yang tidak memberangsangkan berikutan pandemik COVID-19 dan menjangkakan prestasi bagi suku keempat juga masih mencabar.
Ia merekodkan kerugian bersih RM3.4 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM7.4 bilion pada suku yang sama sebelum ini, disebabkan permintaan lemah dan harga minyak terus rendah.
Kenanga Investment Bank amat yakin Petronas akan semakin berhati-hati dalam perbelanjaann pada masa depan memandangkan gabungan lembaran imbangannya dan keuntungan mencatatkan penyusutan sederhana, manakala komitmen dividen juga meningkat.
"Komitmen dividen lebih tinggi yang berterusan ini akan menjejaskan pemulihan sektor itu di peringkat tempatan, terutama apabila firma minyak utama lain mengurangkan dividen di seluruh dunia,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan.
Petronas akan membayar dividen bernilai RM34 bilion kepada kerajaan Persekutuan tahun ini.
Perbelanjaan modal oleh Petronas bagi tahun ini setakat ini adalah sebanyak RM22.5 bilion, berkurangan 22 peratus tahun ke tahun, sebahagiannya sejajar dengan garis panduan awal bagi perbelanjaan modal yang dianggarkan lebih rendah pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020.
Sebahagian besar perbelanjaan modal dilaksanakan untuk pelaburan huluan dan tempatan.
Gas dan tenaga baharu jelas merupakan bidang pelaburan kedua terbesar Petronas, merangkumi 22 peratus daripada perbelanjaan modal kumpulan, menandakan kemungkinan penerimaan Petronas terhadap aliran peralihan tenaga.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]