Berita

Penggalakan penggunaan gas asli akan kurangkan kesan buruk perubahan iklim



KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Penggalakan penggunaan gas asli sebagai bahan api peralihan ketika mempercepatkan penerimagunaan tenaga boleh diperbaharu serta meningkatkan pemuliharaan tenaga sebagai pembangunan jangka sederhana dan panjang, boleh menjadi penyelesaian berdaya maju terhadap kesan perubahan iklim yang membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berikutan berlaku keterputus-putusan sumber boleh diperbaharu, campuran penjanaan tenaga memerlukan bahan api yang mempunyai ciri pembakaran pantas dan keseimbangan beban untuk mengurangkan penawaran yang tidak menentu.

“Kadar peralihan tenaga di Asia Tenggara, khususnya penerimagunaan tenaga lebih bersih dan pengelektrikan kenderaan, dijangka menjadi lebih cepat susulan pandemik COVID-19.

“Sekatan pergerakan di seluruh rantau ini yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan pandemik, telah meredakan kesan perubahan iklim, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 17 peratus dan menarik perhatian lebih mendesak terhadap keperluan untuk mendapatkan sumber tenaga lebih bersih,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sidang Meja Bulat Maya Forum Menteri Gas Forum Tenaga Antarabangsa (IEF)-Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) kali ke-7.

Mustapa menjelaskan sektor tenaga telah terjejas ekoran sekatan pergerakan di peringkat global, yang menyaksikan permintaan tenaga dunia susut sebanyak 30 peratus, seperti yang dinilai berdasarkan kapal terbang yang tidak dapat memberikan perkhidmatan, penggunaan kenderaan yang terhad dan perniagaan serta sekolah terpaksa ditutup semasa pandemik.

“Meskipun situasi pandemik yang kita hadapi, peralihan tenaga yang berterusan memberi cabaran tersendiri kepada industri gas asli.

“Ini adalah beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dalam mencari dan menentukan campuran tenaga optimum, untuk menyeimbangkan pilihan yang sukar dibuat terhadap tiga aspek tenaga iaitu harga berpatutan, jaminan dan kemampanan,” katanya.

Beliau berkata walaupun permintaan tenaga susut tahun ini, Agensi Tenaga Antarabangsa menjangkakan permintaan gas global meningkat kembali pada 2021 dan Asia mendahului pertumbuhan permintaan pada tahun-tahun akan datang, dengan pasaran pesat membangun di rantau ini pulih dan memperoleh manfaat daripada harga gas yang menarik.

“Berlandaskan unjuran ini, kebimbangan jaminan tenaga juga meningkat apabila bahan api fosil sudah kehabisan atau tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

“Langkah memastikan jaminan penawaran bahan api untuk infrastruktur tenaga jangka panjang menjadi keutamaan teratas ASEAN, dengan beberapa negara pengeksport bersih telah menyokong pengeluaran semasa mereka dengan import gas asli cecair (LNG), dan ini mendedahkan mereka kepada risiko pasaran dan geopolitik yang ketara,” katanya.

Bagi memudahkan import LNG, sebuah ekosistem pelaburan kondusif didukung oleh sokongan dasar kerajaan adalah penting untuk penyediaan infrastruktur yang diperlukan, iaitu kemudahan regasifikasi dan saluran paip, katanya.

Beliau berkata Malaysia akan menjalankan kajian ke atas Dasar Tenaga Negara untuk menentukan strategi jangka panjang bagi sektor tenaga.

“Kajian ini juga akan menentukan langkah menangani cabaran yang dihadapi sektor tenaga dan mengenal pasti peluang pertumbuhan baharu di samping mempertimbangkan aliran peralihan tenaga dalam menyeimbangkan pilihan yang sukar dibuat terhadap tiga aspek tenaga.

“Malaysia bertekad untuk melaksanakan peranan aktif dalam sokongan gas global dan menyertai usaha memetakan hala tuju masa depannya," katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]