Berita

Parlimen: Pengumuman mengenai NEM akan dibuat dalam masa terdekat



KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan membuat pengumuman rasmi dalam tempoh terdekat berkenaan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), kata menteri berkenaan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Perkara itu dinyatakan beliau secara ringkas ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. 

Dalam perbahasan rang undang-undang itu, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu NEM 3.0, antaranya Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah bagi menyediakan program baharu bagi NEM 3.0 serta sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kuota khusus NEM bagi setiap negeri. 

Skim NEM ialah inisiatif solar photovoltaic (PV) oleh kementerian untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Selain itu, Yeo Bee Yin (PH-Bakri) ketika berbahas berkata kerajaan perlu menyediakan rancangan baharu bagi kuota baharu NEM untuk lima tahun seterusnya supaya pemain industri solar boleh bersiap sedia. 

“Sebelum pembaharuan, hanya 16 megawatt (MW) kuota diambil pemain industri solar, (tetapi) selepas pembaharuan polisi (NEM), kita lihat ia meningkat lebih 20 kali ganda dan sekarang kuota NEM hampir habis. 

“Saya setuju Jerantut (Ahmad Nazlan) dan Sibuti (Lukanisman) bahawa kerajaan patut beri kuota baharu NEM untuk (membantu) pertumbuhan industri solar. Industri solar atas bumbung memberi banyak peluang pekerjaan seperti jurutera, juruelektrik,” katanya. 

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli diluluskan tanpa melalui undi belah bahagian selepas dibahas lapan Ahli Parlimen, masing-masing empat daripada blok penyokong kerajaan dan empat pembangkang. 

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar diluluskan dengan undian suara terbanyak selepas dibahas lapan Ahli Parlimen iaitu empat daripada blok penyokong kerajaan, tiga pembangkang dan satu Bebas.

Persidangan Dewan bersambung esok.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]