Berita

KPower perkukuh kehadiran serantau selepas hasil suku pertama mengagumkan

Mustakim Mat Nun (Source: KPower)

KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower) merancang untuk memperluaskan lagi kehadiran geografinya dalam sektor tenaga dalam ASEAN dan Asia Selatan, di tengah-tengah prospek kukuh bagi sektor itu.

Pengarah urusan kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, kumpulan itu optimis kerajaan di seluruh rantau ini akan terus memfokuskan kepada industri tenaga, utiliti dan infrastruktur kerana ia merupakan industri utama dalam menghidupkan semula dan mengembangkan ekonomi.

“Malah, rantau ASEAN baru-baru ini telah meningkatkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 35 peratus menjelang 2025.

“Sasaran itu ditetapkan di bawah Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga Fasa 2 yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2021 sehingga 2025," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, perjanjian perdagangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau baru-baru ini menunjukkan rantau ini tekad dalam memperluaskan dan mengembangkan ekonominya.

Mustakim berkata KPower berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ini, yang pasti akan memberi petanda baik untuk pertumbuhan dan pelan pengembangannya.

“Oleh itu, kumpulan ini berhasrat untuk membina keupayaannya dalam spektrum tenaga boleh diperbaharui lain seperti projek solar berskala besar dan meluaskan penawaran produknya iaitu merangkumi projek angin hibrid dan tenaga solar yang menyasarkan pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah,” katanya.

 Beliau berkata kumpulan itu juga sedang meneroka produk lain dalam industri tekstil dalam usaha meningkatkan segmen pembuatannya didorong sektor pembuatan dunia yang bertambah baik dan Indeks Pengeluaran Perindustrian yang positif pada suku ketiga tahun ini.

Setakat ini, KPower telah memperolehi nilai perolehan kontrak yang lumayan bernilai RM1.4 bilion di Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal selain menyasarkan peningkatan selanjutnya sebanyak RM2.0 bilion menjelang akhir tahun kewangan 30 Jun, 2021.

Sementara itu, keuntungan bersih kumpulan melonjak lapan kali ganda kepada RM8.15 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2020 daripada RM948,000 pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh aktiviti berkaitan pembinaan dalam segmen tenaga, utiliti dan infrastruktur.

Perolehan syarikat menokok 411 peratus kepada RM57.06 juta daripada RM11.16 juta sebelumnya, didorong oleh segmen pembinaan, melibatkan kerja-kerja tambahan ke atas projek semasa dan kerja-kerja awalan ke atas projek-projek baharu di Laos dan Nepal.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]