KOTA BHARU, 26 Nov -- Hess Malaysia, anak syarikat Hess Corporation diiktiraf sebagai syarikat yang mengguna pakai amalan terbaik dalam melaksanakan projek warga korporat atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat pengeluaran minyak mentah dan gas asli itu berkata pengiktirafan tersebut diberikan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di bawah program MY AMCHAM CARES 2020.
Naib Presiden Kanan Hess bagi Pengeluaran Global Gerbert Schoonman berkata pengiktirafan itu sekali gus menandakan kemajuan yang telah dicapai dalam memenuhi matlamat tanggungjawab sosial syarikat di Asia.
“Matlamat kami ialah membantu memenuhi keperluan tenaga dunia yang semakin meningkat melalui cara yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan warga kerja kami, melindungi alam sekitar dan menyumbang kepada kemampanan komuniti di tempat kami beroperasi,” katanya di sini.
Dalam kenyataan sama, Naib Presiden Asia Hess Zhiyong Zhao berkata objektif syarikat sama ada di Malaysia mahupun di negara lain adalah menghasilkan impak positif jangka panjang kepada komuniti setempat.
“Teras utama pendekatan kami dalam menjalankan tanggungjawab sosial di Malaysia adalah melalui sokongan kepada pendidikan, bantuan bencana dan memainkan peranan untuk meringankan cabaran yang wujud akibat COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das memuji usaha Hess Malaysia dalam melaksanakan projek CSR yang mempunyai asas kukuh serta memastikan pendekatan yang digunakan adalah strategik, mampan, boleh diukur dan dapat disampaikan dengan baik terutamanya di peringkat komuniti setempat.
Menurut kenyataan itu, Hess Malaysia telah menyumbang lebih 60,000 unit perlindungan diri seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan sarung tangan perubatan kepada beberapa hospital, klinik kesihatan dan ibu pejabat polis di Kelantan dan Terengganu.
Katanya syarikat turut menyumbang kira-kira 4,000 hidangan makanan kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat kurang bernasib baik di Kelantan yang diagihkan oleh sukarelawan Hess.
“Hess Malaysia juga meneruskan program bantuan bencana secara tahunan di Pantai Timur yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, termasuk kempen bantuan banjir untuk membantu usaha pemulihan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya.
Katanya syarikat turut menyokong Program Dermasiswa Pelajar MyKasih “Love My School” di Kelantan yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa tanpa tunai kepada 80 pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik dalam komuniti Orang Asli.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]