Berita

SIRIM bangun penyelesaian inovatif bagi pengeluaran biogas



Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail

KUALA LUMPUR, 24 Nov -- Bagi menyokong industri biogas, SIRIM Bhd telah membangunkan penyelesaian inovatif untuk pengeluaran biogas dan menaik taraf kualitinya kepada bahan api seperti gas asli atau Gas Asli Bio (BioNG).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata pelbagai teknologi sedang dibangunkan oleh pasukannya di Pusat Perindustrian Inovasi bagi Gas Asli Bio.  

“SIRIM mempunyai kepakaran dalam keseluruhan rantaian nilai seperti penulenan dan pengeluaran, pengedaran menerusi Sistem Saluran Paip Maya (VPS), penggunaan dan pembangunan standard, serta pengujian dan pengesahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmad Fadzil berkata SIRIM berjaya membangun dan menunjukkan daya maju teknikal dan ekonomi BioNG bagi akses pasaran menerusi kilang demonstrasi di Merotai, Tawau, yang berupaya menghasilkan 6,000 meter padu (m3) gas asli bio atau bersamaan dengan anggaran 6,000 liter bahan api diesel sehari.

“Demonstrasi itu dilakukan di tapak dan juga luar tapak, menumpukan kepada rantaian nilai holistik yang melibatkan bahan mentah, pengeluaran, pemprosesan, simpanan dan pengedaran. 


Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani

“Menerusi teknologi penggulungan filamen kami sendiri, kami dapat menghasilkan saluran tekanan, tangki, paip dan produk lain bagi pengedaran biogas termampat atau malahan bagi hidrogen,” katanya. 

Menurutnya, kemudahan ujian tekanan di SIRIM Tech Venture Penang merupakan antara yang paling ketat di negara ini bagi memastikan silinder komposit dapat menyimpan tekanan sehingga 250 bar. 

Baru-baru ini, SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BiON Sdn Bhd (BSB) dan LIPP Engineering Sdn Bhd untuk meneroka projek tenaga boleh baharu termasuk projek sisa-kepada-tenaga.

STV diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ajmain Kassim, manakala BION diwakili Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutifnya Datuk Syed Nazim Syed Faisal.

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi  Serba Dinamik  Holdings Bhd Datuk Dr Ir Ts Mohd Abdul Karim Abdullah. 

MoU itu menandakan kejayaan usaha SIRIM dalam memajukan teknologi biotenaga dalam pasaran yang digerakkan oleh MIDA menerusi Platform Penyelarasan Pelaburan Domestiknya. 

MIDA menyediakan padanan dan membantu memudahkan urusan penyedia teknologi dengan rakan kongsi industri dalam rantaian nilai biotenaga bagi meneroka peluang dan cabaran serta merangka pelan tindakan bagi industri.

Menurut Ahmad Fadzil, biogas mempunyai potensi menjana 736 megawat tenaga yang dihasilkan daripada bahan buangan kilang minyak sawit, baja dan sumber tapak pelupusan di negara ini. 

Bagaimanapun, dianggarkan penggunaan tenaga biogas negara ketika ini hanya kira-kira 25 peratus daripada jumlah ini. 

“Menerusi penyelesaian BioNG SIRIM, kami menjangka memberi sumbangan besar dalam eksploitasi teknologi relevan, untuk menukarkan biojisim yang  banyak menjadi produk tenaga boleh baharu,” katanya. 

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]