Berita

Sarawak mahu jadi pengeksport hidrogen utama - Abang Johari

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 23 Nov -- Sarawak boleh menyertai kumpulan negara-negara pengeluar hidrogen menjelang 2050 sekiranya berjaya memanfaatkan potensi sumbernya untuk menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharu ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri secara serius telah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hidrogen selepas mengkaji daya majunya untuk dihasilkan secara skala besar dan permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap hidrogen sebagai sumber tenaga seperti yang diuar-uarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

“Kajian Hidrogen EU menyebut dalam tempoh 2030 hingga 2050, pasaran hidrogen akan bernilai kira-kira US$11 trilion (US$1=RM4.08). Pada masa itu, Australia dijangka menjadi negara utama yang mengeksport hidrogen dan saya berpandangan Sarawak boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan itu,” katanya di sini, hari ini.

Semasa menjawab soalan di webinar mengenai Belanjawan 2021 Sarawak: Ke arah Masyarakat Berpendapatan Tinggi pada 2030 hari ini, beliau berkata kerajaan negeri memantau pembangunan hidrogen sejak tiga tahun lepas, apabila mengetahui penekanan Suruhanjaya Tenaga Antarabangsa kepada keperluan untuk mengawal pelepasan karbon dan pada masa sama menyediakan pengganti kepada bahan api fosil.

“Negara-negara lain nampaknya mengikuti rapat Sarawak. Akhir-akhir ini, kita menerima pernyataan minat oleh syarikat Jepun, Sumitomo dan Eneos, anak syarikat Nippon Oil, untuk mewujudkan loji hidrogen di Bintulu,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Negeri berkata syarikat minyak negara, Petronas, juga telah memulakan kerjasama dengan Sarawak Energy Bhd untuk menjalankan aktiviti R&D bagi pengeluaran hidrogen.

Beliau berkata negeri ini juga telah melaksanakan projek prototaip selepas mengkaji kaedah yang digunakan di negara lain yang telah mengeluarkan hidrogen sebagai bahan api, seperti di Jerman, Itali, Perancis, Korea Selatan dan Scotland.

 “Projek ini nampaknya agak berjaya walaupun kosnya masih tinggi. Saya perhatikan ia berdaya maju dan kita akan terus melaksanakan R&D ke atas subjek hidrogen khusus ini,” katanya.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]