Berita

MIDA galak kerjasama antara BiON, SIRIM Tech Venture



KUALA LUMPUR, 20 Nov -- BiON Group of Companies (BiON) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd, ke arah mengukuhkan pertumbuhan ekosistem bio-tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata MoU itu bertujuan membangunkan potensi dalam pengkomersialan aktiviti sisa kepada tenaga (WTE) untuk memastikan pengurusan sisa yang mampan di negara ini.

“MoU itu bukti kepada usaha MIDA dalam menggalakkan aktiviti pelaburan yang menyokong matlamat pembangunan mampan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata MIDA, melalui unit Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP), telah diselaraskan dengan BiON dan STV untuk mewujudkan kerjasama teknikal antara kedua-dua syarikat. 

“Kerjasama ini termasuk pengedaran tenaga gas melalui sistem saluran paip maya dan penubuhan hab bio-tenaga untuk mengewangkan sisa pertanian dan perindustrian,” katanya. 

Azman berkata ujian rintis akan turut dijalankan mengenai pengeluaran BioNG daripada loji tenaga biogas sedia ada dan projek lain berkaitan WTE di Malaysia dan di luar negara.  

“Unit DICP membantu syarikat dalam merapatkan jurang teknologi dan kewangan mereka, menawarkan kemudahan dan libat urus secara langsung dengan penyedia teknologi dan institusi kewangan, termasuk ekuiti swasta dan syarikat modal teroka,” katanya. 

Azman berkata kerjasama itu menggabungkan penggiat tempatan dan antarabangsa utama daripada rantaian nilai bio-tenaga untuk meninjau peluang dan cabaran serta merangka hala tuju untuk industri. 

"MIDA terus memberikan galakan kepada pelabur langsung domestik dan asing dalam mengembangkan portfolio perniagaan mereka dan memacu pelaburan dalam persekitaran pandemik COVID-19,” katanya. 

Azman berkata BiON merupakan antara penyedia penyelesaian WTE paling kukuh di Malaysia dan pengeluar tenaga bebas melalui pembinaan, operasi dan pemilikan empat loji tenaga biogas yang menyediakan elektrik ke grid nasional di bawah sistem tarif galakan.

Beliau berkata BiON adalah satu-satunya syarikat dengan loji tenaga biogas beroperasi dengan dua sistem yang berbeza dalam menjana tenaga melalui rawatan efluen kilang kelapa sawit, dan juga antara daripada beberapa pengendali dan penyedia perkhidmatan bersepadu sepenuhnya di negara ini.

Sementara itu, STV telah melancarkan platform pengkomersialan bersepadu dikenali sebagai TECH Ecosystem baru-baru ini, merangkumi ekosistem yang berkesan menggunakan Tahap Kesediaan Teknologi (TRL), metodologi untuk menentukan kematangan teknologi semasa kitaran pembangunan produk.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]