Berita

BiON PLC, GLT meterai MoU wujudkan pengendali loji tenaga Biogas terbesar di Malaysia



KUALA LUMPUR, 19 Nov -- BiON PLC, penyedia penyelesaian kejuruteraan alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui, melalui anak syarikat milik penuhnya, BiON Sdn Bhd (BSB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Green Lagoon Technology Sdn Bhd (GLT) untuk membentuk penggabungan dan mewujudkan pengendali loji tenaga biogas terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif BiON Datuk Syed Nazim Syed Faisal berkata selepas penggabungan, syarikat tujuan khas (SPV) itu akan mempunyai sejumlah lapan loji tenaga biogas dengan gabungan kapasiti sebanyak 13 Mega Watt.

“Pelannya untuk menyenaraikan SPV di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Bhd atau mana-mana bursa saham lain dalam tempoh tiga tahun dari tarikh perjanjian pemegang saham,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Syed Nazim dan Pengarah GLT How Yoon For.

Syed Nazim berkata tenaga boleh diperbaharui adalah tenaga masa depan, berdasarkan tumpuan kepada isu perubahan iklim dan alam sekitar yang lain yang memberi kesan kepada masyarakat hari ini.

“Loji tenaga biogas kami menggalakkan ekonomi kitaran dengan menjana tenaga hijau daripada sisa kilang kelapa sawit,” katanya.

BSB turut menandatangani MoU dengan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd dan LIPP Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat dengan teknologi berasaskan Jerman yang terlibat dalam tenaga boleh diperbaharui, untuk meninjau usaha dalam projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk projek sisa kepada tenaga (WTE).

MoU dengan STV bertujuan meninjau kerjasama dalam pengedaran gas melalui sistem saluran paip maya, mewujudkan hab biotenaga untuk mengewangkan sisa pertanian dan perindustrian serta ujian rintis pengeluaran bio-natural gas daripada loji tenaga biogas sedia ada.

Ia ditandatangani oleh Syed Nazim, Presiden SIRIM Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan wakil SIRIM Ajmain Kassim.

Sementara itu, MoU dengan LIPP Engineering bertujuan meninjau kerjasama bersama dalam perniagaan biogas BSB dan pembangunan projek WTE. Ia ditandatangani oleh Syed Nazim dan Pengarah Urusan LIPP Engineering Dr Hoh Choon Yee.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]