Berita

KPower cadang pecahan saham 1 kepada 4 dan waran percuma

Kumpulan Powernet Bhd's (KPower)

KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower) mencadangkan pecahan saham satu kepada empat dengan terbitan sehingga 150.8 juta waran percuma pada asas satu waran untuk setiap tiga saham biasa yang dipegang berikutan langkah pecahan saham.

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata cadangan tersebut merupakan semakan semula daripada cadangan sebelum ini iaitu langkah pecahan saham satu kepada dua yang diumumkan pada 5 Jun, 2020.

Katanya cadangan itu untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelabur selain pada masa sama mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham syarikat sebagai ganjaran kepada kesetiaan dan sokongan mereka yang berterusan.

Selain itu, katanya waran percuma akan menjadi saluran kepada kumpulan untuk meraih dana baharu apabila ia dilaksanakan.

“Kami telah memikirkan tentang cara terbaik untuk menyatakan penghargaan kami kepada pemegang saham kami. Pecahan saham dan waran ini merupakan gabungan kemenangan bersama untuk syarikat dan pemegang saham kami. Dengan pecahan saham, akan terdapat mudah tunai dan pemegang saham akan diberi ganjaran untuk bersama kami bagi jangka masa panjang. 

“Sehubungan itu, kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada pelabur dalam syarikat,” kata Pengerusi Kumpulan Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah.

Syarikat itu berkata tarikh kelayakan akan ditentukan dan diumumkan kemudian berikutan ia memerlukan kelulusan daripada Bursa Malaysia dan pemegang saham KPower.

“Tanpa mengambil kira situasi di luar jangka, cadangan itu dijangka selesai pada suku pertama 2021,” katanya.

Katanya tiada hasil akan diraih daripada langkah pecahan saham itu.

Bagaimanapun, katanya memandangkan pelaksanaan waran percuma adalah selepas selesainya pecahan saham, saham yang dipecah bahagi akan berhak kepada waran tersebut.

Katanya waran percuma itu mempunyai tempoh selama lima tahun dan harga RM2.50 selepas pecahan saham. 

“Sekiranya waran tersebut dilaksanakan sepenuhnya, syarikat dijangka meraih hasil kasar sehingga RM376.94 juta,” katanya.

Katanya hasil kasar itu dijangka digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan pada masa depan.

Katanya syarikat akan terus meninjau peluang pelaburan baharu di rantau ini dan mengukuhkan lagi jaringan serantau ASEAN selepas pelaburannya berjaya di Indonesia dan Nepal.

KPower terlibat dalam segmen tenaga dan utiliti mampan serta khusus dalam tenaga boleh diperbaharui. 

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]