Berita

SESB dirombak bagi tambah baik bekalan elektrik Sabah - Bung Moktar



KOTA KINABALU, 13 Nov -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang mengurus bekalan elektrik di Sabah, akan distruktur semula secara besar-besaran bagi memastikannya mampu berdaya saing selain memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat negeri itu.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata SESB telah menggariskan lima Bidang Keberhasilan Utama (KRA) bagi tujuan transformasi tersebut.

Aspek itu adalah  fokus terhadap Kawal Selia Berasaskan Insentif bermula pada Januari depan, jaminan bekalan, meningkatkan kepuasan pelanggan, peningkatkan aliran tunai serta transformasi organisasi.

"Syarikat ini mengalami kerugian demi kerugian selain bekalan elektrik terputus dan tidak mencukupi. Oleh itu, kita bincang dengan kementerian di peringkat Persekutuan (mengenai cadangan) penstrukturan semula SESB dan ini dipersetujui.

"Apabila SESB dapat bangkit semula, barulah kita ambil alih (pemilikannya) dan kendalikan bekalan elektrik sendiri. Adalah diharapkan semua (proses) ini dapat selesai dalam lima hingga enam tahun," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah di sini, hari ini.

Bung Moktar juga berharap supaya Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Negeri Sabah dapat ditubuhkan bagi mengurus pembekalan tenaga secara lebih efisyen.

Selain itu, bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik di pantai timur Sabah, satu projek penjana tenaga bebas (IPP) baharu dengan kuota 1,000 megawatt (MW) menggunakan penjanaan gas akan dilaksanakan di kawasan tersebut, kata beliau.

Sebagai permulaan, kerajaan Persekutuan memberi kuota 300MW bagi penjanaan tenaga di kawasan itu dengan meneliti kaedah termasuk tenaga solar dan 'mobile barges' (kemudahan mudah alih) sementara menunggu IPP baharu itu dilaksanakan.

Menurutnya, tenaga 300MW itu adalah sementara dan dijangka siap dalam masa setahun hingga satu setengah tahun yang melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.

"Kita struktur semula SESB dahulu dan lakukan penjanaan itu. Apabila tenaga 300MW itu ada, barulah kita lancarkan IPP (1,000MW) sama ada di Sandakan, Tawau atau Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata, apabila IPP itu siap, projek grid transmisi elektrik antaranya bagi Kota Kinabalu ke Sandakan serta Sandakan ke Tawau akan diteruskan bagi memastikan penggunaan dan pembekalan tenaga secara meluas.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Universiti Swinburne Sarawak Bangunkan Pusat R&D Tenaga Diperbaharui, Teknologi Avionik

KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak akan membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sini yang menumpukan kepada tenaga diperbaharui serta sektor avionik berteknologi tinggi.


OCBC Bank Berperanan Penting Dalam Peralihan Tenaga

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- OCBC Bank Singapura yakin mempunyai peranan penting untuk membolehkan pembangunan mampan dan menyokong peralihan tenaga yang adil dengan menawarkan modal kepada projek dan syarikat yang menyumbang secara langsung terhadap peralihan meyakinkan.


Penglibatan Semua Segmen Masyarakat Penting Untuk Capai Kejayaan Peralihan Tenaga - Fadillah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kejayaan peralihan tenaga Malaysia bergantung kepada penglibatan semua segmen masyarakat yang aktif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]