Berita

KPower peroleh kontrak EPCC pertama di Indonesia pada RM54.6 juta



KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower) memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) pertama di Indonesia bernilai RM54.6 juta iaitu bagi loji jana kuasa hidro.

Penyedia perkhidmatan pembinaan itu berkata kontrak yang diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, KPower International (L) Ltd (KPIL), adalah bagi EPCC dan penyiapan dua loji jana kuasa mini di wilayah Bengkulu di Sumatera.

PT Pat Petulai Energi memberi kontrak bernilai RM29.71 juta untuk membina loji jana kuasa 3.1 MW di Sg Simpang manakala PT Klaai Dendan Lestari menyerahkan kontrak bernilai RM24.92 juta bagi loji jana kuasa 2.6 MW.

Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun berkata menerusi pelantikan itu, KPIL akan melaksanakan kejuruteraan, pembinaan, penyeliaan, pengujian, pengoperasian, ujian kebolehpercayaan, baik pulih kerosakan semasa tempoh liabiliti kerosakan dan pembekalan semua peralatan bagi kerja-kerja kekal dan sementara berkaitan projek berkenaan.

“Pihak-pihak berkenaan akan memeterai perjanjian muktamad dalam tempoh perniagaan 90 hari mulai tarikh penerimaan kontrak untuk kedua-dua projek yang dijangka siap dalam 24 bulan mulai tarikh mula laksana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penerimaan kontrak itu adalah sejajar dengan rancangan peluasan syarikat di rantau ASEAN selepas berjaya menembusi sektor tenaga boleh diperbaharu dan utiliti pada 2019.

“Kejayaan memperoleh kontrak ini bukan hanya membuktikan keupayaan kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharu dan infrastruktur di Indonesia malah petanda baik kepada rancangan kami untuk meningkatkan tahap persaingan dan kedudukan dalam segmen khusus EPCC di ASEAN,” katanya.

Setakat ini, Kumpulan Powernet mencatatkan nilai kontrak dalam tangan bernilai RM1.4 bilion yang diperoleh dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal.

Ia menyasar untuk meningkatkan nilai kontrak dalam tangan dengan tambahan RM2.0 bilion lagi pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]