Berita

RM2.37 bilion untuk projek bekalan elektrik kawasan luar bandar Sarawak- Abang Johari



KUCHING, 31 Okt -- Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.37 bilion bagi projek bekalan elektrik luar bandar pada 2019 dan 2020 dengan sasaran untuk mencapai pembekalan elektrik sepenuhnya di kawasan luar bandar negeri ini menjelang 2025, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata pada 2009, liputan elektrik luar bandar hanya pada 56 peratus dan angka terbaru tahun ini menunjukkan bahawa 93 peratus isi rumah di luar bandar telah menerima bekalan elektrik.

"Kami akan meningkatkan usaha untuk memastikan setiap isi rumah dibekalkan dengan tenaga elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya ketika merasmikan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) di Long Pilah, Telang Usan, sebuah kawasan perkampungan luar bandar kira-kira 760 kilometer utara ibu negeri.

Hadir sama Menteri Utiliti negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala  serta Pengerusi Sarawak Energy Bhd (SEB) Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Abang Johari berkata menjelang akhir 2021, daerah Telang Usan akan menerima bekalan elektrik sepenuhnya apabila sistem solar bagi tenaga boleh diperbaharui dipasang di 21 kampung di kawasan berkenaan.

Mengenai SARES, Abang Johari berkata program itu telah membawa perubahan kepada kehidupan lebih 8,000 isi rumah di lebih 270 kampung di kebanyakan kawasan terpencil di Sarawak sejak diperkenalkan pada 2016.

Beliau berkata di bawah inisiatif kerajaan-komuniti yang inovatif ini, Kerajaan Sarawak melalui pelaksana projeknya Sarawak Energy telah membekalkan elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui, kurang karbon dan boleh diharapkan selama 24 jam kepada kira-kira 60,000 penduduk luar bandar yang tinggal di pedalaman Sarawak, menggantikan penjana diesel yang bising dan mahal.

Sejak diperkenalkan pada 2016, lebih 20,000 penduduk daripada kira-kira 2,500 isi rumah di 51 kampung pedalaman di Telang Usan mendapat bekalan elektrik di bawah SARES. 

Projek SARES ini membekalkan tenaga elektrik ke rumah-rumah lebih 6,000 penduduk daripada 725 isi rumah di 13 kampung iaitu Long Pilah, Long Luteng, Long Daloh Bestari, Long Miri, Long Tebangan, Long Liam Keliman, Long Sobeng, Long Selapun, Long Sebatang, Long Sengung, Long Pala, Long Buah, dan Long Buken. 

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

SESB dirombak bagi tambah baik bekalan elektrik Sabah - Bung Moktar

KOTA KINABALU, 13 Nov -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang mengurus bekalan elektrik di Sabah, akan distruktur semula secara besar-besaran bagi memastikannya mampu berdaya saing selain memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat negeri itu.


Serba Dinamik, UniMy meterai kerjasama untuk program latihan teknikal

KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Serba Dinamik Group Bhd dan  University Malaysia of Computer Science & Engineering (UniMy) telah memeterai sijil kerjasama (Certificate of Collaboration) yang membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam menjalankan latihan teknikal dan perkongsian teknologi, kepakaran serta program pensijilan yang diiktiraf oleh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Politeknik Malaysia dari Terengganu.


KPower peroleh kontrak EPCC pertama di Indonesia pada RM54.6 juta

KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower) memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) pertama di Indonesia bernilai RM54.6 juta iaitu bagi loji jana kuasa hidro.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2020 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Best viewed in Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) with 1920 x 1080 resolution

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, portal@bernama.com ]