Berita

Sarawak lakar sejarah bina stesen pengisian bersepadu



KUCHING, 20 Okt -- Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila bakal mempunyai stesen  pengisian bersepadu yang meliputi bahan bakar konvensional, hidrogen dan pengecasan elektrik yang pertama di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis pecah tanah stesen itu, yang bertempat di Darul Hana di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata pencapaian ini menunjukkan Sarawak maju setapak lagi, di mana negeri itu kini mempunyai stesen minyak tiga dalam satu dan yang pertama seumpamanya, di Malaysia.

“Stesen pengisian bersepadu ini akan membekalkan tiga komponen utama iaitu minyak petrol dan diesel, hidrogen yang berasaskan air dan terakhir, bateri (pengecasan elektrik),” katanya.

Abang Johari juga memberitahu bahawa beliau telah meminta kerajaan Persekutuan, agar tidak melaksanakan dahulu cukai terhadap kereta yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar, bagi menggalakkan pengguna mencuba teknologi baru itu.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata pelaksanaaan stesen itu adalah inisiatif kerajaan Sarawak, dalam membangunkan rangkaian stesen-stesen pengisian bersepadu yang merangkumi tenaga, di mana hidrogen sebagai bahan bakar utama akan diproses, disalur, dibekal dan dijual untuk penggunaan tempatan.

“Kewujudan stesen-stesen pengisian bersepadu ini akan memberi keyakinan kepada rakyat tempatan mengenai kebolehan kerajaan Sarawak dalam menunaikan janjinya. Ia juga menunjukkan tahap daya saing kita yang tinggi, dalam menghadapi persaingan sengit dalam industri tenaga dalam negara dan juga peringkat global.

“Buat pertama kalinya kita akan mempunyai stesen pengisian bersepadu di bawah jenama kita sendiri, iaitu PETROS. Setakat ini, kita telah merancang untuk membina enam stesen di seluruh Sarawak dan ia bermula dengan stesen di Darul Hana ini, dan stesen kedua juga akan dibina di Kuching, manakala empat lagi stesen akan di bina di Sri Aman, Sibu, Bintulu, dan juga Miri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]