Berita

Sarawak komited melabur dalam teknologi hijau - Abang Johari



KUCHING, 19 Okt -- Kerajaan Sarawak komited melabur ke arah pembangunan teknologi hijau dan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui seperti biogas daripada sisa sagu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sisa-sisa daripada industri sagu ini dapat dirawat dan secara tidak langsung dapat membersihkan alam sekitar 

Katanya, sebelum ini, sisa-sisa berkenaan dilepaskan ke dalam sungai sehingga mencemarkan sumber air.

“Antara produk yang boleh dihasilkan daripada sagu ialah boleh menjanakan tenaga, sekali gus menghasilkan sisa air bersih selain mengeluarkan biogas kerana ia mengandungi gas metana,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian di antara Craun Research Sdn Bhd (Craun) dan Knowledge Integrated Services Pte Ltd Singapore di sini hari ini.

Craun Research telah diberikan kepercayaan membangunkan Model Penyaliran Biogas Termurni Daripada Sisa Cecair Sagu Untuk Kegunaan Isi Rumah yang telah diilhamkan Abang Johari sendiri sebagai kesinambungan daripada Projek Loji Rintis Sisa Rawatan Cecair Sagu yang telah dilancarkan beliau pada 23 November tahun lepas.

Menurutnya, biogas yang dihasilkan oleh loji rintis sagu akan dimurnikan dan seterusnya diedarkan sebagai sumber gas memasak alternatif yang hijau, lestari dan lebih murah berbanding gas komersil LPG.

Sebagai permulaan, penyaliran biogas termurni untuk kegunaan memasak ini akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Teh dan Kampung Tabo di Mukah, Sarawak.

“Saya merasakan sudah sampai masa untuk kita mengkaji satu daripada produknya iaitu biogas yang dapat ditambah nilai dan digunakan oleh masyarakat setempat sama ada untuk memasak dan kegunaan lain. Disebabkan itu saya telah memberi peruntukan khas kepada Craun untuk melakukan penyelidikan ini,” katanya.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Craun Zaidell Hussaini berkata daripada aspek keselamatan, biogas termurni dengan kandungan gas metana melebihi 90 peratus adalah lebih selamat digunakan sebagai gas memasak berbanding gas LPG.

Ini berikutan, gas metana adalah lebih ringan daripada udara menyebabkan ia lebih cepat meruap apabila berlaku kebocoran, katanya.

“Daripada perspektif industri pula, projek ini berupaya meningkatkan nilai rantaian sagu di samping membuka jalan penyelesaian secara bersepadu ke atas masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sisa buangan sagu,” katanya.

Sagu merupakan antara komoditi pertanian utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan Sarawak dan selaku pengeluar utama sagu di Malaysia, Sarawak mengeksport hasil kanji sagu bernilai antara RM80 hingga RM90 juta setiap tahun.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]