Berita

UTHM hasilkan kereta elektrik "ECO"



Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 15 Okt -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan negara ini tidak kekurangan bakat tempatan dalam industri automotif apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya mencipta kenderaan berkuasa elektrik yang dinamakan “ECO”.

Ketua Projek ECO Prof Madya Dr Samsul Haimi Dahlan berkata ECO siap dalam masa 14 bulan, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal pada penghujung November ini.

Menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (ENCenter) UTHM itu, penyelidikan mengenai kereta berkenaan dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

“Antara tujuan utama penghasilan kereta elektrik ini ialah untuk menyahut seruan penghasilan kenderaan masa depan yang lebih mesra alam,  bebas  pencemaran bunyi, asap dan yang lebih penting dapat mengelakkan gangguan elektromagnetik,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Katanya antara kelebihan ECO ialah kos pengoperasian hanya sekitar RM4 untuk pecutan 100 kilometer sejam berbanding kenderaan menggunakan bahan bakar petrol yang memerlukan RM30 untuk jarak sama.

“Kita juga cukup bertuah apabila UTHM memberikan geran dalaman sebanyak RM55,000 untuk menghasilkan kereta elektrik yang mampu membawa bebanan (barangan) sehingga 200 kilogram pada satu-satu masa.

“Sasaran pasaran kereta elektrik ini ialah trak pengangkut ringan yang kebiasaannya digunakan sebagai trak makanan. ECO sesuai digunakan bagi tujuan itu kerana saiz yang agak kecil selain kos penyelenggaraan yang lebih rendah,” katanya. 

Selain dikuatkuasakan oleh bateri lithium-ion yang berjangka hayat hingga 10 tahun, ECO juga dilengkapi kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang menerima arahan suara bagi mengoperasikan pengelap cermin dan membelok, katanya.

Menurutnya, ECO dibangunkan dengan kerjasama pensyarah FKEE Dr Xavier Ngu Toh Ik yang pernah terlibat sebagai konsultan pembinaan kereta elektrik di luar negara, Dr Mohd Razali Tomari, Mohd Rostam Anuar dan Miskiah Muhammad Ihsan.

Samsul Haimi juga berkata setakat ini beberapa syarikat telah menunjukkan minat terhadap ECO bagi kegunaan sendiri.

--  BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]