Berita

BNM: Institusi kewangan tingkatkan BCP sebagai respons terhadap pandemik



KUALA LUMPUR, 14 Okt  -- Institusi kewangan telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan lagi Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) sedia ada dengan menggabungkan langkah-langkah khusus sebagai respons terhadap pandemik COVID-19, kata Bank Negara Malaysia (BNM). 

BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini berkata BCP telah diperluaskan bagi menggabungkan langkah-langkah tindak balas terhadap peristiwa pandemik termasuk persediaan terhadap gangguan yang berpanjangan atau meluas kepada perniagaan, kesediaan penutupan penuh ibu pejabat, kebergantungan ke atas penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang kritikal dan keteguhan Pusat Operasi Keselamatan (SOC).

Pandemik ini telah memberikan cabaran operasi baharu yang benar-benar menguji kemampuan BCP institusi kewangan dan walaupun dengan senario semasa, institusi kewangan berjaya mengaktifkan BCP yang membolehkan penyediaan perkhidmatan kewangan penting diteruskan kepada orang ramai, di samping melindungi kesihatan serta kesejahteraan kakitangan dan pelanggan mereka. 

''Tiada gangguan operasi di tengah-tengah risiko pengoperasian yang paling tinggi semasa pandemik kerana institusi kewangan mengambil langkah selanjutnya untuk mengukuhkan BCP,'' kata BNM.

Bagaimanapun, memandangkan institusi kewangan bersedia terhadap gangguan yang lebih panjang atau meluas kepada perniagaan, BNM menekankan bahawa institusi kewangan perlu mengkaji semula penilaian risiko mereka di bawah senario pandemik untuk mengenal pasti potensi impak ke atas sumber, kapasiti IT termasuk keupayaan mereka dalam menyokong pengaturan kerja dari jauh berskala besar dan peningkatan penggunaan perkhidmatan perbankan dalam talian untuk tempoh yang lebih panjang. 

BNM ketika menyentuh mengenai kesediaan untuk penutupan penuh ibu pejabat, menegaskan institusi kewangan juga perlu memastikan mereka mengekalkan serta sentiasa mengkaji senarai aktiviti kritikal dan kakitangan mereka, termasuk penggantian pekerja yang telah dikenal pasti yang perlu diberikan latihan praktikal bagi memastikan mereka bersedia untuk melaksanakan aktiviti yang dipertanggungjawabkan sepanjang masa.

''Pandemik ini mendedahkan keadaan yang mana kebergantungan industri yang semakin meningkat terhadap penyedia perkhidmatan pihak ketiga untuk menyokong operasi perniagaan kritikal masih belum diperakui dan ditangani secukupnya dalam BCP. 

“Oleh itu, institusi kewangan perlu mengkaji secara holistik pengaturan sedia ada mereka untuk berkomunikasi dan menyelaras dengan penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi mendapatkan jaminan mengenai kesiapsiagaan BCP entiti-entiti ini, dan menilai keupayaan mereka sendiri untuk memindahkan fungsi kritikal kepada bank itu sendiri atau kepada penyedia perkhidmatan alternatif apabila perlu,” tambah BNM. 

Akhir sekali, BCP juga perlu menggabungkan rancangan luar jangka yang sesuai untuk memastikan pengawasan berterusan ke atas keselamatan siber dan titik akhir, disebabkan kesambungan telah meningkat dengan ketara berikutan pergantungan yang lebih besar terhadap pengaturan kerja jarak jauh, bilangan peranti titik akhir yang lebih tinggi dan sambungan luaran termasuk peningkatan jumlah transaksi kewangan dalam talian. 

Oleh itu, ini memerlukan institusi kewangan mengkaji semula keupayaan dan liputan pengawasan SOC. 

BNM menegaskan walaupun berhadapan dengan cabaran operasi yang timbul akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan, kerugian risiko operasi secara meluas masih kekal stabil.

''Belum ada lonjakan dalam kerugian dan insiden risiko operasi, tetapi waran risiko baru muncul terus ada dan bank serta institusi kewangan tetap berhati-hati terhadap risiko yang berkaitan dengan pelarasan operasi yang telah dibuat oleh institusi kewangan bagi mematuhi norma-norma baharu penjarakan fizikal,'' katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]