Berita

Sarawak sasar bekalan elektrik untuk 22,360 rumah luar bandar



KAPIT (Sarawak), 29 Sept  -- Sarawak melalui syarikat tenaganya, Sarawak Energy Berhad, menyasarkan membekalkan elektrik untuk 22,360 rumah luar bandar di negeri ini dalam beberapa tahun mendatang dengan akses penuh bekalan elektrik 24 jam.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang berkata ini boleh dilaksanakan dengan memperluas infrastruktur transmisi dan pengagihan ke lebih banyak kawasan luar bandar atau menyediakan penyelesaian sistem kendiri seperti Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Bercakap pada majlis penyerahan SARES yang baru dipasang daripada Sarawak Energy, untuk 13 kampung penerima manfaat di Rumah Entili di Daerah Kecil Nanga Merit, yang terletak dua jam perjalanan bot dari bandar Kapit semalam, Liwan berkata lebih RM2.37 bilion diperuntukkan untuk projek elektrik dalam tempoh dua tahun ini ke arah mencapai matlamat itu.

“SARES memberikan penduduk luar bandar akses bekalan elektrik yang sama seperti yang dimiliki penduduk bandar. Walaupun mereka tidak perlu membayar bil elektrik, mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara sistem  itu sendiri.

“Sistem ini menggantikan generator diesel  yang bising dan memberikan kemudahan, sekali gus meringankan kehidupan masyarakat di sini dan ramai lagi masyarakat pedalaman Sarawak yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sarawak Energy di sini hari ini.

Seramai 2,200 penduduk dari Rumah Seking, Rumah Entili, Rumah Anthony Jiram, Rumah Yan Ngumbang, Rumah Wilfred Guyang, Rumah Lawrence Lannie, Rumah Milang, Rumah Berundang, Pekan Nanga Merit, Rumah Ibin, Rumah Rajau, Rumah Sadang dan Rumah Julau kini mempunyai akses kepada tenaga elektrik berkuasa solar 24 jam yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.

Dengan penambahan baharu itu, sejumlah 24,900 penduduk yang terdiri daripada 3,100 isi rumah dari 142 kampung terpencil di Bahagian Kapit, termasuk Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mambong, mempunyai akses ke utiliti tersebut.

Daerah Kecil Nanga Merit, yang mempunyai 49 kampung dengan 1,009 isi rumah hampir 8,000 orang, hanya boleh diakses melalui sungai dan jalan trek kayu balak.

Rumah panjang yang terletak di sepanjang tebing sungai Merit terlalu jauh untuk disambungkan ke grid elektrik, cara terpantas untuk membekalkan elektrik untuk kediaman ini adalah melalui SARES.

Liwan mengucapkan tahniah kepada penduduk 13 rumah panjang itu dan menasihati mereka untuk menjaga SARES yang baru dipasang dan meyakinkan mereka bahawa Sarawak Energy akan terus memberikan sokongan teknikal setelah projek itu siap dan dilaksanakan.

Dengan adanya SARES  setiap isi rumah dibekalkan dengan 3,000Wh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui setiap hari bagi memenuhi keperluan asas isi rumah luar bandar yang merangkumi lampu, kipas angin, televisyen, peti sejuk kecil dan periuk nasi.

-- BERNAMA  




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]