Berita

TNB kuasai pegangan majoriti dalam syarikat solar terbesar di UK



KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi subsidiari milik penuhnya, TNB International Sdn Bhd (TNBI) hari ini meningkatkan pegangan ekuiti dalam Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex Solar) daripada Beaufort Investments S.a.r.l, satu subsidiari EFG Hermes Holding SAE pada nilai GBP11.0 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembelian itu menjadikan pegangan ekuiti TNB dalam Vortex Solar meningkat kepada 55 peratus, ia memberi TNB penguasaan majoriti dalam syarikat tersebut. 

“Pemerolehan ini satu pencapaian penting dalam komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara,” katanya.

Vortex Solar adalah satu daripada platform solar terbesar di United Kingdom dengan skim subsidi ‘Renewables Obligation Certificate’ (ROC).

Portfolio itu merangkumi 24 ladang solar beroperasi dengan kapasiti keseluruhan 365 MW yang konsisten menghasilkan pulangan kukuh sepanjang dua tahun lalu.

““Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekaligus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) angin terbesar di UK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau bekata ia juga adalah satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah, malah ia adalah satu langkah terancang untuk menguasai aset-aset RE berprestasi tinggi, bermula dengan penguasaan pegangan 100% TWV pada awal tahun ini.

“Dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada TNB dan penguasaannya dalam TWV dan Vortex Solar, Amir , TNB akan mengembangkan perniagaannya di Eropah sejajar dengan strategi pertumbuhan RE diperingkat antarabangsa.

“Menerusi penstrukturan semula Vortex Solar dan TWV untuk menjadi Syarikat Aset Tenaga Boleh Diperbaharui yang bertujuan memiliki, menjalankan operasi dan mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah,” katanya.

Meskipun berdepan dengan keadaan tidak menentu akibat wabak COVID-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan, justeru penguasaan majoriti dalam Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB, katanya.

Portfolio itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak GBP39.1 juta pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80 peratus pada 2018 kepada 84 peratus pada 2019.

-- BERNAMA 

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]