KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Cadangan Perikatan Minyak Sawit Eropah (EPOA) bagi pematuhan mandatori peringkat Kesatuan Eropah (EU) untuk syarikat menggunakan minyak sawit dan sayuran lain, akan dapat mewujudkan persaingan adil serta memastikan kerangka perundangan konsisten bagi semua syarikat.
Bagaimanapun, Pengerusinya Frans Claassen menegaskan aspek 'semak dan imbang' sedemikian tidak harus bersifat diskriminasi serta perlu turut diperluaskan kepada komoditi lain seperti soya, daging dan koko.
"EU perlu mengelak daripada mengalihkan isu lestari ini apabila membabitkan komoditi lain. Biarlah kita laksanakan kerangka peraturan yang adil dan meluas untuk semua pengeluaran serta penggunaan yang berkaitan dengan usaha pembasminan hutan," katanya pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Minyak Sawit Mampan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Claassen terbabit dalam pembangunan minyak sawit lestari sejak 2003 apabila menjadi Kaunselor Pertanian Belanda untuk Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata minyak sawit mampan yang bebas daripada pembasmian hutan itu juga bertepatan bagi memenuhi agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Di EPOA, kami percaya bahawa minyak sawit yang dihasilkan secara lestari adalah ramuan asas makanan yang melengkapi diet seimbang dan membantu memberi makanan untuk penduduk dunia, melindungi biodiversiti dan meningkatkan pembangunan sosioekonomi.
“Oleh itu, penghasilan minyak sawit sedemikian menyumbang kepada SDG PBB. Di Eropah dan peringkat dunia, pengeluar makanan dan bukan makanan akan terus menggunakan minyak sawit dan ia perlu dimakan dan dimanfaatkan secara lestari tanpa pembasmian hutan," katanya.
Beliau berkata, EPOA juga menyedari kepentingan standard mandatori nasional seperti Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Minyak Sawit Mampan Indonesia serta inisiatif yang dilaksanakan negara pengeluar bagi penghasilan secara lestari dan menghentikan pembasmian hutan - sesuatu yang beliau percaya perlu turut diamalkan oleh EU.
“Kita ingin tegaskan bahawa setiap rantau dunia bergerak pada masa berbeza dengan cabaran serta peluang masing-masing.
“Bagi kami, impak positif dalam negara pengeluar itu hanya dapat dicapai apabila terdapat pelaksanaan tadbir urus baik dari segi perlindungan hutan dan pertanian serta sokongan terhadap pengeluar (terutamanya pekebun kecil)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr Kalyana Sundram berkata minyak sawit hanya menyumbang kira-kira 2.3 peratus daripada pembasmian global.
Oleh itu, katanya, sebagai satu tanaman, sawit bukanlah penyumbang utama kepada masalah tersebut.
Merujuk satu kajian yang dijalankan pada 2014, beliau berkata punca tunggal kehilangan kawasan perhutanan itu boleh dikaitkan dengan aktiviti pembalakan tidak mampan dan seterusnya impak kebakaran yang mana gabungan faktor itu hanya membawa kepada kehilangan besar kawasan tersebut.
“Berikutan cabaran ini, minyak sawit kini tertakluk kepada pelbagai jenis sistem pensijilan mampan yang keutamaannya pula sering berubah.
“Permulaan yang baik bagi industri minyak sawit (sebagai tanaman pertama di dunia memiliki pensijilan mampan) sebaliknya menjadi cabaran besar berikutan kritikal berterusan dan dikenakan tindakan sedangkan komoditi lain dapat mengelak tindakan sedemikian," tegasnya.
Sundram berkata, sejajar dengan matlamat mempertingkat kemampanan sawit, kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa dasar baharu termasuk mengehadkan jumlah kawasan penanaman kepada 6.5 juta hektar serta tidak membenarkan penanaman baharu sawit di tanah gambut.
Kerajaan juga, katanya, turut melarang penukaran kawasan simpanan hutan bagi tujuan penanaman sawit dan orang ramai turut diberi akses terhadap peta perladangan tanaman itu.
"Usaha lain yang dirancang termasuk semakan semula prinsip dan kriteria MSPO bagi mempertingkat dan memasukkan aspek kebolehjejakan sepanjang rantaian nilai dan menerapkan Revolusi Perindustrian 4.0 bagi memantapkan produktiviti dan kemampanan," katanya.
Setakat Ogos 2020, sebanyak 86.5 peratus atau 5.06 juta hektar kawasan penanaman sawit negara ini telah mempunyai pensijilan MSPO.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]