Berita

MPIA lancarkan Jerayawara Solar 2020-2021



KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Persatuan Perusahaan Fotovolta Malaysia (MPIA) melancarkan ‘jerayawara solar’ bagi menyokong saranan kerajaan untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 20 peratus negara di negara ini menjelang 2025.

Jerayawara Solar MPIA 2020-2012 itu akan menjadi platform bagi menyediakan maklumat sehenti mengenai dasar, program, insentif cukai, pembiayaan, liputan insurans, risiko dan pulangan pelaburan, pajakan solar dan perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi pelaburan sistem fotovoltaik solar (PV)  di bumbung.

Presiden MPIA Chin Soo Mau berkata jerayawara itu dianjurkan agar audiens mendapat maklumat langsung dan tepat daripada sumber sebenar.

“Bagi memenuhi sasaran nasional kita dalam tenaga boleh baharu, MPIA akan mengisi jurang ini. Disebabkan itulah MPIA mengadakan jerayawara solar ini. Kita telah menjemput penceramah daripada pihak berkuasa dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut data kerajaan, lebih 4.0 juta bangunan di negara ini berpotensi untuk dipasang sistem PV untuk mendapatkan tenaga percuma dan boleh baharu daripada matahari. Namun, dianggarkan kurang daripada 12,000 bangunan telah dipasang sistem PV solar untuk penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Chin berkata lebih dua juta bangunan telah dipasang sistem PV solar di Australia yang mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding Malaysia.

“Malah, penggunaan sistem PV solar oleh syarikat-syarikat bagi bangunan komersial dan industri bukan sahaja sebagai maklum balas kepada perubahan iklim, malah, menambah baik aliran tunai berikutan penjimatan bil elektrik dan menambah nilai kepada imej korporat ke arah hijau.

“Inilah bagaimana beberapa syarikat multinasional memanfaatkan ‘label hijau’ untuk mewujudkan kesedaran yang lebih baik atau harga lebih premium bagi produk dan perkhidmatan; pendekatan seperti ini perlu dipertimbangkan,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]