Berita

Syarikat minyak utama perlu atur strategi perniagaan dalam harungi persekitaran mencabar masa ini

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 5 Sept  -- Tahun 2020 merupakan tahun yang begitu mencabar untuk kebanyakan industri seluruh dunia termasuk minyak dan gas, dan semua ini tercetus daripada krisis kesihatan COVID-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan ini diterukkan lagi oleh situasi tidak menentu yang lain seperti harga minyak mentah yang rendah, perang perdagangan yang tiada berkesudahan antara Amerika Syarikat dan China serta isu-isu berkaitan inventori minyak dalam kalangan pengeluar minyak.

 Bagaimanapun, dalam mengharungi persekitaran yang getir ini, sudah tiba masanya syarikat pengeluar minyak untuk mengatur rancangan perniagaan masing-masing dalam usaha mengekalkan operasi dan menguruskan kos mereka dengan lebih cekap dan berkesan.

 Sama seperti gergasi minyak lain yang melaporkan kemerosotan kewangan pada suku kedua tahun ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) turut  mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM21 bilion untuk  suku berakhir 30 Jun, 2020, berbanding keuntungan bersih RM14.7 bilion dalam suku yang sama tahun lepas.

Penurunan ini disebabkan terutamanya hasil yang rendah dan kerugian rosot nilai bersih yang tinggi bagi aset. 

Hasil bagi tempoh suku kedua juga menyusut iaitu RM34.04 bilion berbanding RM59.1 bilion tahun ke tahun, disebabkan terutamanya impak daripada purata harga direalisasi rendah untuk produk utama dan kuantiti jualan rendah terutamanya bagi produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) serta gas diproses.

Syarikat minyak Arab Saudi, Saudi Aramco juga tidak terkecuali yang mana ia  merekodkan kejatuhan sebanyak 50 peratus untuk pendapatan bersih kepada AS$23.2 bilion bagi separuh pertama tahun ini daripada AS$46.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2019.

Sementara jumlah aliran tunainya pula sebanyak AS$21.1 bilion untuk tempoh berkenaan, merosot daripada AS$38 bilion tahun sebelumnya.

Begitu juga dengan Royal Dutch Shell yang turut mengalami kerugian kewangan yang meruncing selepas penurunan nilai yang ketara terhadap nilai aset minyak dan gasnya ekoran kejatuhan harga dalam pasaran global yang dicetuskan oleh COVID-19.

Gergasi minyak Anglo-Belanda itu mencatatkan kerugian bersih AS$18.3 bilion bagi suku kedua 2020, merosot teruk daripada keuntungan bersih AS$3 bilion dalam tempoh yang sama dan AS$2.7 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2020. 

Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz amat yakin yang lambat laun, syarikat minyak itu mampu menjauhkan diri daripada cabaran berkenaan.

Tengku Muhammad Taufik, yang menyertai syarikat minyak negara itu pada Julai, menegaskan kumpulan itu komited untuk melaksanakan semua langkah yang perlu dalam usaha pemulihannya.

Langkah itu melibatkan pembentukan semula gabungan portfolionya, penyusunan semula persamaan modal insan selain memberi penekanan kepada pelaksanaan berfokus, ujar beliau. 

Syarikat minyak itu telahpun melaksanakan pengurangan pengeluaran dan penjimatan kos bagi mengurangkan impak pandemik dan kini berhasrat mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui serta menilai semula kedudukan minyak dan gasnya.

"Industri minyak dan gas kini sedang berjuang untuk terus bertahan. Dengan kata lain, ia perlu terus mengurangkan kos dan mendapatkan segala bentuk sumber sumber kewangan sehinggalah ekonomi dunia kembali pulih,” kata penganalisis pasaran kanan OANDA, Jeffrey Halley kepada Bernama

Beliau menyedari bahawa pengeluar utama minyak akan terus tertekan pada 2020 sehinggalah ke tahun hadapan memandangkan harga dan penggunaan yang rendah telah membebankan sumber kewangan mereka.

Harga minyak Brent terus merosot pada suku kedua 2020, dengan harga fizikal purata Brent (dated Brent average) pada AS$29.20 setong berbanding AS$68.83 setong dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beroperasi berbanding harga minyak yang rendah, harga fizikal purata Brent dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini ialah AS$39.73 setong berbanding AS$66.02 setong dalam tempoh yang tahun sebelumnya.

Halley berkata harga minyak akan terus berada di bawah tekanan ekoran penggunaan yang rendah dan bekalan dunia yang berlebihan, dan untuk menyaksikan perubahan itu sebelum pertengahan 2021, paling tidakpun, ia bergantung kepada pengedaran secara meluas vaksin Covid-19 sekiranya ada.

"Prestasi kewangan sektor minyak tidak akan pulih sehinggalah dunia berjaya terlepas daripada kemelesetan COVID-19, sempadan antarabangsa dan perjalanan dibuka semula pada skala yang besar dan harga minyak meningkat daripada paras pada masa ini,” tambah beliau.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]