Berita

Kejutan harga, impak COVID-19 pengaruhi prestasi kewangan industri O&G

File pix

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos -- Industri minyak dan gas (O&G) kini dalam fasa kejatuhan harga untuk kali ketiga dalam tempoh 12 tahun walaupun terbukti mampu bangkit dan meneruskan operasi selepas dua kejutan awal terbabit.

Namun, keadaan agak berbeza kali ini berikutan konteks semasa yang menggabungkan kejutan bekalan dengan kejatuhan  ketara serta tidak dijangkakan bagi permintaan komoditi serta krisis kemanusiaan global akibat pandemik COVID-19. 

Malah, tahap prestasi kewangan dan struktur sektor itu juga jauh lebih buruk berbanding krisis sebelumnnya.

Kewujudan bahan api syal, lambakan bekalan dan keadaan pasaran kewangan yang melangkaui disiplin had modal hanya menyumbang kepada pulangan yang rendah.

Bukti tempoh mencabar bagi pasaran minyak serta ekonomi global yang terus ‘berperang’ membendung pandemik itu adalah prestasi syarikat gergasi minyak Saudi Aramco yang mencatat penyusutan pendapatan bersih sebanyak 50 peratus kepada US$23.2 bilion bagi separuh pertama 2020 berbanding US$46.9 bilion dalam tempoh sama 2019.

Jumlah aliran tunai syarikat minyak Arab Saudi itu mencecah US$21.1 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini yang turut merosot daripada US$38 bilion tahun lepas.

Royal Dutch Shell juga tidak terkecuali apabila melaporkan kerugian kewangan yang ketara selepas penyusutan nilai aset O&G akibat kejatuhan harga pasaran global susulan COVID-19. 

Gergasi minyak Anglo-Belanda itu merekodkan kerugian bersih sebanyak US$18.3 bilion bagi suku kedua 2020 yang merupakan penurunan ketara daripada keuntungan bersih US$3 bilion dalam tempoh sama dan US$2.7 bilion dalam tiga bulan pertama 2020. 

Satu lagi syarikat minyak, BP telah mengurangkan bayaran dividen sebanyak 50 peratus kepada 5.25 sen sesaham iaitu angka lebih besar daripada unjuran sebanyak 40 peratus oleh penganalisis.

Keadaan itu tidak dapat dielakkan memandangkan bebanan hutang yang besar, penyusutan permintaan minyak dan gas serta jangkaan pemulihan ekonomi global yang kekal perlahan. 

Berdasarkan prestasi kewangan syarikat-syarikat utama di atas, kini tumpuan beralih kepada syarikat minyak negara, Petronas yang dijangka mengumumkan prestasi kewangan suku keduanya pada 4 September ini.

Mengulas perkara itu, Profesor Madya Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business (ASB) Dr Renato Oliveira de Lima berkata syarikat-syarikat minyak turut membuktikan bahawa ia lebih berdaya tahan sekarang selepas mengharungi tempoh sukar kejatuhan harga minyak pada 2014.

Ini berikutan ada segelintir daripadanya yang bertindak membuat persediaan untuk menghadapi senario keadaan kewangan yang rendah bagi tempoh yang lama.

Malah, ada syarikat minyak yang turut mengelak daripada membuat sebarang keputusan pelaburan akhir dalam perkara yang boleh menjejaskan harga minyak yang tinggi, katanya.

“Walaupun kebanyakan syarikat ini dapat mengekalkan perniagaan, namun tumpuan lebih diberikan terhadap usaha mengawal aliran tunai. Pengurangan kos, khususnya pelaburan baharu dalam aspek penerokaan dan pengeluaran, juga dapat dilihat secara menyeluruh.

“Namun, kemungkinan mengalami kewangan kronik seperti bankrap setakat ini adalah terhad, terutamanya bagi pengeluar di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai aset di kawasan yang menelan kos pengeluaran tinggi," katanya kepada Bernama.

Bagi mengurangkan impak pasaran minyak yang lemah, kalangan syarikat-syarikat minyak antarabangsa, minyak dan gas serta kimia telah bertindak secara pantas dengan mengurangkan perbelanjaan modal dan operasi yang akan turut disusuli di peringkat pembekal dan syarikat penyedia perkhidmatannya.

Pada Mei tahun ini, Petronas mengumumkan akan mengurangkan perbelanjaan modal sebanyak 21 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 daripada anggaran awal kira-kira RM50 bilion berikutan cabaran yang dihadapinya berikutan pandemik itu.

De Oliveira juga menyifatkan krisis bagi industri minyak masih belum berakhir dan terdapat alasan jangka pendek dan panjang, termasuk peningkatan kes COVID-9 di peringkat global.

"Kemungkinan besar keyakinan melakukan perjalanan udara akan pulih atau memakan masa sehingga dua tahun lamanya dengan penghasilan vaksin dan pembatalan sekatan perjalanan berkaitan. Hanya selepas itu, kita mungkin menyaksikan angka 100 juta tong minyak sehari sebagaimana dicatatkan pada awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata senario semasa boleh berubah menjadi kejutan kekal untuk industri minyak, mengurangkan potensi pertumbuhan yang secara tradisinya berkait rapat dengan pertumbuhan aktiviti ekonomi.

"Pada masa ini, tenaga boleh diperbaharui terus menjadi lebih kompetitif dengan pengurangan kos penjanaan dan kenderaan elektrik meningkatkan bahagian pasaran masing-masing. Gabungan kesemua faktor ini boleh mengakibatkan pasaran minyak yang amat kompetitif dengan margin operasi lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata  bagi sektor minyak, keutamaan pelabur yang lebih mengutamakan tenaga hijau telah menjejaskan pelaburan modal O&G dan mengurangkan modal bagi tujuan penerokaan atau eksplorasi.

"Ini jelas berlaku bagi aktiviti syal di AS apabila hanya segelintir telaga baharu yang digerudi. Hari-hari kehebatan industri minyak boleh disifatkan sebagai memori,” katanya kepada Bernama.

Innes juga menjangkakan harga minyak kekal dalam jajaran semasa sehingga ke akhir 2020 berikutan kebimbangan terhadap COVID-19 terus ketara dan menjejaskan permintaan.

"Jika aktiviti ekonomi itu meningkat lebih pantas daripada dijangkakan dan harga meningkat semula sekali pun, langkah penutupan (sementara akibat pandemik) telaga syal AS akan menyebabkannya wujud secara dalam talian dan Pertubuhan Negara Pengeskport Minyak dan sekutu (OPEC ) pula bertindak menambah lebih banyak tong minyak di pasaran kerana tidak mahu harga naik yang menggalakkan pengeluar minyak syal meningkatkan pengeluarannya,” katanya.

Menurut de Oliveira, sebarang perubahan asas juga tidak dapat dielakkan kerana industri O&G telah mencecah paras kemuncak penggunaan dan tenaga boleh diperbaharui akan terus berkembang pesat pada kadar lebih pantas.

"Jika berlaku sedemikian, usaha pempelbagaian itu hanya menjadi lebih penting, bukan sahaja untuk membolehkan syarikat meninjau peluang pasaran baharu tetapi juga untuk kerajaan yang banyak bergantung kepada hasil pendapatan minyak," katanya.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]