Berita

Maklum balas diminta mengenai panduan sektor VBIAF



KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Kumpulan Kerja Panduan Sektor (Kumpulan Kerja) Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBIAF) hari ini mengeluarkan kumpulan pertama Panduan Sektor VBIAF mengenai Minyak Sawit, Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga.

Kumpulan Kerja itu diterajui oleh Komuniti Pengamal (CoP) Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), yang terdiri daripada 12 ahli Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), menurut AIBIM dalam kenyataan di sini.

Bank-bank itu ialah Agrobank, Alliance Islamic Bank Bhd, AmBank Islamic Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Islamic Bhd, OCBC Al-Amin Bank Bhd, Public Islamic Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan Standard Chartered Saadiq Bhd.

Katanya Panduan Sektor VBIAF berfungsi sebagai alat pengurusan risiko berasaskan impak untuk membimbing institusi kewangan dalam melaksanakan VBIAF ke atas sektor terpilih pada tahap lebih terperinci dan dibangunkan bersama oleh ahli Kumpulan Kerja yang terdiri daripada CoP dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Ia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Tenaga (EC), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia, Kumpulan Bank Dunia (pejabat di Malaysia), World Wide Fund for Nature (WWF) dan Sime Darby Plantation Bhd.

Ini merupakan langkah utama untuk meningkatkan kesediaan institusi kewangan dalam memainkan peranan ke arah merealisasikan aspirasi dan komitmen kerajaan sebagai penandatangan kepada Perjanjian Paris 2015 dan memastikan kemampanan seluruh pengeluaran dan rantaian bekalan minyak sawit mengikut standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), katanya.

Secara keseluruhannya, ini akan membuka laluan kepada peralihan ekonomi yang teratur ke arah negara rendah karbon. Panduan Sektor VBIAF turut menyokong inisiatif perubahan iklim oleh BNM.

Panduan Sektor VBIAF terdiri daripada komponen berikut, iaitu definisi dan skop, cadangan komersial, kategori risiko berasaskan impak, metrik risiko dan pengurusan risiko.

Kumpulan pertama Panduan Sektor VBIAF merupakan kesinambungan daripada beberapa dokumen panduan yang dikeluarkan oleh BNM dengan kerjasama CoP, melengkapi panduan luas dalam “VBIAF -- Dokumen Panduan” untuk menggabungkan pertimbangan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan pembiayaan dan pelaburan. 

Kumpulan Kerja mempelawa respons dan maklum balas mengenai Panduan Sektor VBIAF yang akan dijalankan untuk tempoh tiga bulan bermula 24 Ogos, 2020. Panduan Sektor VBIAF dapat dilihat di https://aibim.com/VBI_VBIAF_Sectoral_Guide_Public_Consultation dan semua respons dan maklum balas hendaklah dihantar menjelang 30 Nov, 2020 kepada vbi@bnm.gov.my.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]