Berita

Sarawak Energy kesan operator mata wang kripto curi bekalan elektrik

Sarawak Energy

SIBU, 12 Ogos -- Sarawak Energy Berhad (SEB) mengesan lima pengendali perniagaan mata wang kripto mencuri bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM250,000 sebulan dalam operasi yang dijalankan bersama Kementerian Utiliti Sarawak dan polis baru-baru ini.

SEB dalam kenyataannya hari ini berkata dalam operasi dua hari itu, kegiatan berkenaan dikesan dijalankan di premis rumah kedai berbeza di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Pahlawan dan Jalan Tunku Abdul Rahman. 

“Pemeriksaan ke atas lima premis terbabit menemukan kabel penyambung tidak sah yang  mengalirkan elektrik daripada bekalan masuk utama yang tersorok di dalam siling gipsum terus kepada peralatan elektrik serta melangkaui meter dan pengukur penggunaan elektrik,” demikian menurut SEB. 

Menurut SEB, semakan mendapati bil bulanan di kesemua rumah kedai terlibat hanya berjumlah sekitar RM800 dan RM1,000 sekalipun pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari.

“Bacaan beban sebenar yang diambil di lokasi menunjukkan kesemua lima premis menggunakan bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM250,000 sebulan,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan itu lima laporan polis dibuat dan penyambung yang tidak sah berkenaan ditanggalkan serta disita sebagai bukti, kata SEB.

Menurut SEB, sejak 2018 hingga sekarang, kira-kira 50 kes kecurian elektrik melibatkan perniagaan mata wang kripto telah disiasat dan kini menunggu untuk dibawa ke mahkamah.  

Mencuri elektrik adalah kesalahan menurut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 dan/atau lima tahun penjara.

Orang ramai diminta menghubungi talian khidmat pelanggan SEB menerusi talian 1300-88-3111 atau e-mel ke  customercare@sarawakenergy.com sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

-- BERNAMA

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]