Berita

Petronas tarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai SST



PUTRAJAYA, 3 Ogos  -- Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Kerajaan Sarawak, pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai cukai jualan negeri (SST).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Pegawai Undang-Undang Negeri Datuk Seri J.C. Fong yang mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan negeri Sarawak mengesahkan rayuan itu telah ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.

Peguam Petronas, Alvin Chong yang menghadiri prosiding  itu memohon rayuan itu ditarik balik. 

Kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal SST Sarawak juga diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Melalui pesanan WhatsApp, Fong berkata berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman  oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa bahagian tertentu dalam notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan dan adalah batal dan tidak sah, dan juga perintah certiorari bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Okt 2019 dan 13 Nov 2019 dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak kepada Petronas dibatalkan.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]