Berita

Guna tenaga informal berjumlah 2.54 juta pada 2019

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA, 23 Julai -- Sebanyak 2.54 juta orang terlibat dalam guna tenaga informal pada tahun lepas yang merangkumi 1.26 juta dalam sektor informal dan selebihnya dalam pertubuhan sektor formal dan isi rumah, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sumbangan guna tenaga sektor ini dalam sektor informal berjumlah 8.3 peratus pada 2019.

Guna tenaga sektor informal turun 4.9 peratus pada 2019 (1.26 juta) berbanding 1.39 juta pada 2017, katanya dalam kenyataan berikutan Laporan Survei Guna Tenaga Sektor Informal Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang bekerja dalam sektor informal susut 9.3 peratus setahun kepada 707,200 orang pada 2019 atau 56.3 peratus berbanding 43.7 peratus atau 548,900 pekerja wanita dalam sektor informal.

Berdasarkan perspektif guna tenaga sektor informal mengikut taraf pekerjaan, Jabatan Perangkaan melaporkan sebanyak 71.7 peratus atau 900,800 orang dalam kategori bekerja sendiri dan 17.1 peratus atau 215,300 orang dalam kategori pekerja.

Guna tenaga dalam sektor ini adalah mereka yang bekerja sebagai pembina rumah, pengasuh kanak-kanak, penjaja makanan, pembuat roti, pemotong rumput, buruh binaan (kerja-kerja bangunan), jurujual jalanan, tukang jahit pakaian, jurujual pasar, penghantar makanan dan pengajar kecergasan fizikal.

“Jurujual internet dan guru tuisyen adalah antara pekerjaan yang mula menunjukkan peningkatan dalam sektor informal pada 2019,” kata Mohd Uzir.

Beliau berkata hampir dua pertiga daripada guna tenaga sektor informal tertumpu kepada sektor perkhidmatan iaitu 64.6 peratus, diikuti pembinaan (18.9 peratus) dan pembuatan (16 peratus).

Menurutnya, aktiviti perdagangan borong dan runcit seperti pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal mendominasi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 20.9 peratus, diikuti aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman yang menyumbang 17.8 peratus.

“Bagi sektor pembinaan, kebanyakan aktiviti yang terlibat ialah pembinaan kediaman,” katanya.

Katanya, majoriti guna tenaga dalam sektor informal ini beroperasi di tempat kediaman (38.7 peratus), diikuti tiada tempat tetap/khusus (35 peratus), pasar/gerai jalanan (19.4 peratus) dan kilang/pejabat/bengkel (6.9 peratus).

Guna tenaga dalam sektor informal di bandar mencatat pertumbuhan negatif 9.3 peratus kepada 944,700 orang pada 2019 berbanding 1.14 juta pada 2017, manakala guna tenaga sektor informal di luar bandar merekodkan pertumbuhan positif 11.3 peratus kepada 311,500 orang pada tempoh yang sama.

Kajian itu turut menunjukkan 76.3 peratus daripada guna tenaga sektor informal mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan ke bawah, iaitu meningkat 0.4 mata peratus berbanding 75.9 peratus pada 2017.

Mohd Uzir berkata statistik guna tenaga sektor informal pada 2019 tidak dipengaruhi oleh impak negatif akibat pandemik COVID-19.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]