Sarawak Energy
KUCHING, 12 Julai -- Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) di daerah Kapit yang berkapasiti 1,285 MW, berjalan lancar bagi mencatat pencapaian penting pembinaannya meskipun berdepan cabaran mengendalikan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta memastikan pasukan di tapak terbabit bebas jangkitan COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata salah satu pencapaian itu membabitkan penyiapan terowong lencongan menjelang akhir Ogos ini.
“Sejajar kedudukannya sebagai projek hidroelektrik terbesar Sarawak Energy setakat ini, HEP Baleh merupakan infrastruktur utama negeri dan projek pembangunan hidro perindustrian yang menjadi sebahagian daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Ini penting bagi memastikan kapasiti tenaga mencukupi bagi pertumbuhan dan pembangunan Sarawak di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharbini berkata projek itu turut menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030.
"Usaha menyiapkan terowong lencongan itu penting bagi memenuhi penyiapan keseluruhan projek HEP Baleh menjelang 2026," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy Pramod Kumar Karunakaran berkata aktiviti pengalihan sungai itu dijadualkan siap menjelang Oktober tahun ini dengan kemajuan keseluruhannya mencecah 66 peratus.
Menurutnya, pembinaan di hulu serta hilir empangan bagi membolehkan lencongan sungai itu akan dimulakan pada September ini dan disusuli dengan aktiviti utama membangunkan empangan tersebut.
Projek itu meliputi enam pakej kerja iaitu pembangunan jeti, jalan raya dan jambatan, stor simpanan bahan letupan bagi memecahkan batuan, perkampungan operator yang menempatkan kakitangan loji janakuasa, terowong lencongan bagi mengalihkan sungai untuk pembinaan empangan utama, kerja-kerja utama sivil dan kerja-kerja elektrikal dan mekanikal utama.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]