Berita

Curi elektrik: ST dan TNB serbu dua premis melombong matawang kripto



PELABUHAN KLANG, 8 Julai -- Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu dua premis perniagaan matawang kripto di Taman Pendamar Indah di sini, kerana disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Serbuan Ops Bitcoin selama hampir dua jam bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, dijalankan 40 kakitangan  SEAL (Special Engagement Against Losses) TNB bersama 12 penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 15 kakitangan ST.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, siasatan selama sebulan yang dijalankan TNB menemukan satu pendawaian haram diwujudkan, untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Pendawaian haram ini dilakukan supaya bekalan elektrik disambung secara terus dan tidak melalui meter TNB. Dianggarkan premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin.

Tambah Shafie, pihaknya menganggarkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan bagi sebuah premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dihukum penjara,” katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK mengenal pasti 21 premis di sekitar kawasan pentadbiran majlis perbandaran itu, yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, MPK akan mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan maklumat mengenainya akan disalurkan kepada ST serta TNB, untuk siasatan lanjut bagi dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan dijalankan oleh ST dan TNB kerana mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]