KUCHING, 7 Julai -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melawat Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) untuk melihat sendiri salah satu projek pembangunan infrastruktur strategik Sarawak, yang apabila siap kelak akan meningkatkan penjanaan tenaga hidro yang boleh diperbaharui dan jaminan tenaga elektrik untuk Sarawak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Ketua Menteri, dalam lawatan itu Abang Johari diiringi oleh timbalannya Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Sarawak Energy Bhd (SEB) Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dam Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili.
Sebelum tiba di tapak projek, Abang Johari dibawa meninjau keseluruhan kemajuan kerja-kerja pembinaan empangan itu dari udara, termasuk kerja-kerja pembinaan terowong penyuraian, yang merupakan bahagian penting dalam pakej kerja.
Ia kemudiannya diikuti dengan taklimat oleh Pengarah Projek HEP Baleh Tan Hang Kiak berhubung kerja-kerja penting dalam pengurusan projek berkenaan.
Projek HEP Baleh adalah projek pembinaan terbesar oleh syarikat milik kerajaan Sarawak dan akan menjadi tambahan kepada mercu tanda utama dalam strategi pembangunan dan tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Apabila siap pada tahun 2026, projek ini akan membuka laluan bagi Sarawak untuk memiliki tenaga yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pertumbuhan perindustrian yang pesat terhadap sumber elektrik, semasa negeri Sarawak melangkah maju dalam mencapai impiannya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
Sementara itu Rundi berkata HEP Baleh amat penting ke arah mendapatkan kapasiti tenaga yang amat diperlukan untuk pembangunan Sarawak.
"Walaupun kita mungkin memiliki bekalan elektrik yang cukup ketika ini, kita perlu merancang dan bersiap sedia dengan apa yang bakal dihadapi di masa hadapan. Kemiskinan tenaga adalah halangan utama untuk kemakmuran dan kemajuan di negara lain, dan kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada Sarawak,” katanya.
Terletak di Sungai Baleh, kira-kira 105 kilometer ke hulu dari pertemuan dengan Sungai Rejang di Kapit, Empangan Baleh setinggi 188 meter adalah salah satu projek infrastruktur terbesar di Sarawak.
Ia juga merupakan HEP terbesar yang dibangunkan oleh SEB dan akan menghasilkan 1,285 mega watt tenaga boleh diperbaharui ke grid setelah siap beroperasi nanti.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]