BINTULU, 2 Julai -- Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tapak seluas 1,068 ekar (432.2 hektar) di Tanjung Kidurong di sini untuk pembangunan hab petrokimia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tapak tersebut, terletak 36 km dari Taman Perindustrian Samalaju, dianggap sesuai untuk hab tersebut berdasarkan aksesnya kepada stok suapan, menjadi tumpuan kepada aktiviti lapangan gas luar pesisir, dan berdekatan dengan saluran paip gas sedia ada.
“Aktiviti seperti industri hiliran ammonia/urea, LNG (gas asli cecair) dan gas kepada cecair (GtL) telah ada di Bintulu, selain industri berat berdekatan Samalaju,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas melawat tapak tersebut hari ini.
Menurut beliau, tapak itu turut berdekatan dengan infrastruktur yang sesuai seperti pelabuhan laut dalam dan rangkaian jalan raya antara mod di Bintulu, selain pelabuhan baharu yang sedang dibangunkan di Samalaju dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPUS).
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menjalankan kajian bersama untuk menghasilkan pelan induk hab tersebut.
“EPUS dan Petronas sedang mengumpul maklumat dan berbincang dengan pelabur yang berpotensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membangunkan pelan induk yang menyeluruh (untuk hab itu),” katanya.
Abang Johari berkata hab petrokimia itu dijangka mewujudkan 74,000 pekerjaan baharu di sini dan mempunyai potensi untuk menjana tambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM16 bilion dan RM20 bilion setahun kepada Sarawak.
“Ini akan membolehkan Sarawak menambah nilai sumber aslinya sejajar dengan aspirasi negeri untuk mengukuhkan aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]