Berita

Serba Dinamik buka taman tema VR pertama Sarawak dengan kapasiti dihadkan



KOTA SAMARAHAN, 24 Jun -- D’Virtual Park di Jalan Meranek di sini yang juga taman tema realiti maya (VR) pertama di Borneo dengan kos bernilai RM13 juta, kini dibuka kepada orang ramai namun dengan kapasiti yang dikurangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan  Serba Dinamik  Group Bhd, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata langkah itu sejajar dengan pelaksanaan prosedur keselamatan dan kesihatan ditetapkan kerajaan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Jumlah pengunjung dikurangkan secara ketara daripada yang kita jangkakan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimana pun, kami akan membukanya semula dengan pelaksanakan langkah keselamatan dan kesihatan baharu untuk pengunjung,” katanya dalam sesi bersama media di taman itu, malam tadi.

Mengikut prosedur terbabit, para pengunjung disyaratkan memakai penutup hidung dan mulut apabila memasuki premis serta mengamalkan penjarakan sosial manakala kakitangan taman akan bertindak mengendalikan orang ramai bagi sesi menikmati perjalanan atau pengembaraan secara realiti maya, ketika beratur serta di kafe.

"Mereka perlu membuat tempahan tiket awal bagi mengelak beratur di pintu masuk dan sebelum memasuki taman. Selain itu, kod imbasan QR juga akan dilaksanakan bagi tujuan pengesanan kontak,” katanya.

D-Virtual Park itu beroperasi dalam sembilan blok bangunan tiga tingkat yang menawarkan kira-kira 10 perjalanan pengembaraan hiburan secara realiti maya dengan VR Elevation D'Luxe terbukti antara yang paling popular.



Tarikan lain termasuk VR Speed Cruiser, VR Quad Squad, VR Gyrate, VR D'Battleship, VR Knight Rider, VR Giant Slide, VR Trekker, VR Gatling Gun serta Enchanted Chamber.

Orang ramai juga berpeluang menikmati pengalaman hiburan seperti eSports Centre dan skrin layar Teater Hologram yang direka khusus serta memaparkan pengalaman sinematik paling berevolusi.

Taman itu yang menyasarkan pengunjung berusia 15-45 tahun, turut menempatkan SD X Studio, SD X FabLab, SDX-Arena, GiGA Virtual-Cafe dan D-Tamu.

Ia dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]