Berita

Eksport minyak sawit Malaysia ke benua Afrika dijangka melonjak tahun ini



KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Eksport minyak sawit mentah (MSM) Malaysia ke benua Afrika dijangka meningkat kepada sembilan juta tan tahun ini berbanding dengan enam juta tan pada dekad yang lepas, menurut 3XG UK Consulting Limited.

Pengasas dan Ketua Pakar Strategi firma itu, Abah Ofon berkata permintaan yang melonjak menunjukkan penggunaan minyak makan di rantau tersebut semakin meningkat pada kadar yang pesat, untuk digunakan, antaranya, dalam makanan diproses.

"Walaupun Afrika menyumbang kira-kira 12 hingga 13 peratus kepada penggunaan MSM global, namun ia hanya meliputi empat peratus daripada pengeluaran MSM global dan ini membuka peluang kepada peserta Afrika, serta pengeluar MSM ASEAN untuk memanfaatkan pasaran di benua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pembentangan pada hari kedua Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) selama tujuh hari anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Malaysia, hari ini.

Ofon memberi contoh Kenya, Tanzania, Ghana, Ethiopia dan Djibouti merupakan antara pasaran yang sedang berkembang bagi MSM di Afrika

Beliau berkata pada 2011, Indonesia mengatasi Malaysia sebagai pengeksport terbesar minyak sawit ke Afrika.

Bagaimanapun, Malaysia kini bersaing bagi menguasai pasaran tersebut dan data awal menunjukkan eksport dari Indonesia ke Afrika mengalami penurunan ketara baru-baru ini.

Sementara itu, penceramah lain, Thomas Mielke yang merupakan pengarah eksekutif ISTA Mielke GmbH (Oil World), menjangkakan penggunaan global bagi minyak sawit berkurangan musim ini untuk kali pertama dalam sejarah berikutan kemelesetan akibat COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap minyak makan dan lelemak.

Beliau mengingatkan bahawa penggunaan minyak sawit akan merosot 2.2 juta tan atau kira-kira tiga peratus daripada musim lepas.

Dalam perkembangan yang sama, Emily French dari ConsiliAgra ketika membentangkan tajuk "Outlook for the Global Soy Complex and the Initial Impact of COVID-19" (Unjuran bagi Pasaran Niaga Hadapan Soya Global dan Kesan Awal COVID-19) berkata permintaan terhadap makanan di India, China dan Pakistan akan pulih sekali gus memberi manfaat kepada minyak sawit.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 platform Pointers yang dilancarkan pada 2010 dengan jumlah anggota hanya 200.

Sejak tempoh itu, pengikut Pointers meningkat kepada lebih 5,000 anggota berdaftar dari 50 negara.

Platform itu terbukti menjadi medium berkesan untuk mendekati khayalak global bagi menyediakan bukan sahaja aliran harga minyak makan utama malah berkongsi perkembangan dan peluang penting dari rantau yang berbeza di dunia.

Bagi edisi istimewa Pointers kali ini, MPOC dan Bursa Malaysia Derivatives telah mengumpulkan 10 pakar yang akan berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan industri, prospek harga dan kesan COVID-19 ke atas permintaan dalam pasaran utama.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]