Berita

Mahkamah diberitahu Petronas beri akujanji untuk tarik balik rayuan



PUTRAJAYA, 23 Jun -- Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah memberikan akujanji untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Pegawai Undang-Undang Negeri Sarawak Datuk Seri J. C Fong memberitahu panel tiga hakim bahawa berikutan akujanji telah diberikan oleh Petronas untuk menarik balik rayuan itu, kerajaan negeri Sarawak tidak membantah permohonan penangguhan dikemukakan syarikat minyak dan gas itu.

Fong mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal cukai jualan negeri Sarawak.

Terdahulu, peguam mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar memaklumkan mahkamah menerusi surat bertarikh semalam bahawa Petronas memohon pendengaran rayuan ditangguhkan atas alasan seperti yang dinyatakan dalam surat itu.

Atas alasan itu, pendengaran dijadualkan hari ini telah dikembalikan semula untuk sebutan perkara itu, kata Malik, yang kemudian memohon mahkamah menetapkan 3 Ogos untuk sebutan rayuan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Malik memberitahu pemberita rayuan itu ditangguhkan ke 3 Ogos untuk membolehkan Petronas memuktamadkan terma-terma penyelesaian dengan kerajaan Sarawak.

Malik berkata berdasarkan surat itu, Petronas telah memberikan akujanji untuk menarik balik rayuan itu sebelum 3 Ogos.

Beliau berkata perjanjian itu yang menunggu untuk penyelesaian sedang dimuktamadkan dan perlu memenuhi proses dalaman.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel hakim mahkamah rayuan membenarkan penangguhan dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan. Dua lagi hakim yang bersidang ialah P. Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undnag-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman  oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa bahagian tertentu dalam notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan dan adalah batal dan tidak sah, dan juga perintah certiorari bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Okt 2019, dan 13 Nov 2019 dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak kepada Petronas dibatalkan.

Malik juga memberitahu media bahawa saman kerajaan negeri Sarawak terhadap Petronas bagi SST belum dibayar itu ditetapkan untuk pengurusan kes Jumaat depan.

-- BERNAMA

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]