Berita

Kajian sistem penukaran tenaga terma laut perlu dipergiat



KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Kajian mengenai penukaran tenaga terma laut (OTEC) perlu dipergiat untuk membangunkan sistem teknologi itu sekali gus boleh menjadi salah satu sumber tenaga alternatif di negara ini.

Felo Penyelidik di Pusat Teknologi Marin, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Omar Yaakob berkata ia berikutan terdapat keperluan untuk mengkaji penggunaan tenaga dunia yang semakin meningkat.

“Kebergantungan kita yang berterusan terhadap sumber tidak boleh diperbaharui seperti petroleum hanya akan memburukkan keadaan. Beberapa kajian meramalkan bahawa jika kita terus menggunakan sumber tenaga ini, ia akan habis dalam tempoh satu abad,” katanya.

Dalam artikelnya di ruangan kolum Tinta Minda di www.bernama.com, Omar berkata kerosakan persekitaran daripada pembebasan bahan pencemar turut menimbulkan kebimbangan.

Justeru, sumber tenaga alternatif perlu dibangunkan daripada sumber yang boleh diperbaharui serta mesra alam, katanya yang juga Ahli Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia.

“Lautan di Malaysia seluas 614.159 kilometer (km) persegi iaitu hampir dua kali ganda daratannya manakala ukuran Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) adalah 453.186 km persegi.

“Lautan ini mempunyai takungan tenaga boleh diperbaharui yang besar. Sekiranya dieksploitasi secara strategik, sumber mesra alam ini dapat menyumbang untuk memenuhi permintaan tenaga negara yang semakin meningkat,” katanya.

Omar berkata walaupun alam semula jadi merupakan sumber tenaga alternatif yang sangat besar, namun, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sistem itu dipelopori negara maju seperti Eropah, Amerika Utara, Asia Utara dan Australasia.

“Sistem tenaga lautan dibangunkan berdasarkan konsep perbezaan suhu, julat pasang surut, arus pasang surut, ombak laut, dan kecerunan kemasinan. OTEC memanfaatkan kecerunan suhu antara air dalam dan cetek untuk penjanaan elektrik,” katanya sambil menambah OTEC juga menyediakan elektrik secara berterusan dengan faktor kapasiti tinggi sekitar 90 peratus.

Menurut beliau, OTEC hanya boleh dibangunkan di beberapa kawasan khusus dan kawasan perairan di Sabah berpotensi untuk dibangunkan sistem teknologi tersebut kerana faktor perairan di negeri itu yang mempunyai kedalaman sehingga 300 meter.

“Untuk sistem OTEC, misalnya, perbezaan suhu minimum yang diperlukan ialah 20 darjah celcius antara suhu air permukaan dan air di dasar lautan. Biasanya perbezaan suhu ini hanya dicapai pada kedalaman sekitar 700 hingga 1,000 meter,” katanya.

“Hakikatnya, prospek pengkomersialan tenaga laut dalam skala besar di Malaysia hanya dapat dijumpai di OTEC. Sumber dalam julat pasang surut, arus pasang surut dan tenaga ombak tidak mencukupi untuk menghasilkan penjanaan elektrik yang berdaya maju secara komersial. Kajian penyelidik tempatan perlu dipergiatkan untuk membangunkan bidang ini di Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang menjalankan kajian pemetaan sumber dan pembangunan peranti tempatan yang dikendalikan Pusat Teknologi Marin UTM.

“Kajian OTEC pula dilaksanakan di Pusat Tenaga Haba Lautan UTM. Di samping itu, kajian dalam bidang ini turut dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaya dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]