Berita

Pengecualian cukai di bawah PENJANA manfaatkan industri minyak sawit



Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 7 Jun -- Pekebun kecil dan syarikat sawit yang terjejas akibat COVID-19 kini boleh menarik nafas lega susulan pengecualian cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan menguruskan paras stok dan menstabilkan harga minyak sawit mentah (MSM) negara.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas MSM, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai, 2020 hingga 31 Dis, 2020.

Mengulas selanjutnya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata pengecualian cukai itu akan mendorong penggiat industri untuk menjual lebih banyak minyak sawit dan membantu menjana pendapatan lebih tinggi sambil menyelesaikan masalah yang dihadapi, termasuk kos tambahan yang dikenakan ketika tempoh sukar ini.

“Kita boleh mempromosikan lebih banyak eksport khususnya kepada pengguna minyak sayuran utama termasuk India, China dan Pakistan,” kata Ketua Pengarahnya Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.

Pengumuman itu juga amat bertepatan dengan langkah India untuk mengimport 1.14 juta tan minyak sayuran pada bulan ini berbanding purata bulanan 865,000 juta tan pada April hingga Mei.

Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai dilaporkan berkata, berikutan perintah berkurung yang dilonggarkan, purata import minyak sayuran dijangka menokok kira-kira 1.3 juta hingga 1.4 juta tan sebulan mulai Julai hingga September.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena webinar yang dihoskan IVPA pada 29 Mei lepas.

Menurut Ahmad Parveez, pengimport India telah menandatangani kontrak dengan pembekal Malaysia untuk penghantaran 200,000 tan MSM pada Jun/Julai.

“Pembelian semula oleh India ini telah didorong oleh stok minyak sayuran domestik yang lembap di negara ini akibat sekatan keluar masuk yang telah mempengaruhi pergerakan barangan.

“Langkah kelonggaran perintah berkurung telah membolehkan pengimport India untuk kembali menyimpan stok komoditi itu. Kami berharap India akan muncul kembali sebagai pelanggan yang dihargai bagi minyak sawit Malaysia,” katanya.

Katanya MPOB berharap jumlah eksport ke India adalah lebih baik pada separuh kedua 2020 berikutan aktiviti perniagaan telah mula beroperasi dalam kebiasaan baharu.

Pengerusi MPOB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata pengumuman oleh kerajaan itu, sudah pasti akan membantu industri untuk meningkatkan lagi nilai eksport sawit Malaysia ke luar negara, terutamanya India kerana kerajaan negara itu tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit yang ditapis.

“MPOB sentiasa komited dengan segala usaha untuk memastikan industri sawit terus maju dan berdaya saing. Kami sentiasa meletakkan kepentingan pekebun, pihak industri dan negara sebagai keutamaan operasi kami,” katanya.

Jika kesemuanya berjalan lancar, Ahmad Parveez berkata paras stok negara tidak akan mencecah paras tiga juta tan menjelang akhir tahun ini seperti diramalkan pakar-pakar perladangan (daripada jangkaan 2.28 juta tan pada Mei) dan harga purata MSM pada 2020 akan kekal pada RM2,500 satu tan.

Keadaan cuaca yang baik pada tahun ini dijangka mendorong pengeluaran yang memberangsangkan bagi minyak makan di seluruh dunia, justeru, memberi persaingan sengit kepada MSM.

Meskipun Indonesia selaku pesaing terdekat Malaysia meningkatkan duti import sebanyak US$5 kepada US$55, Malaysia berpeluang untuk menarik lebih ramai pembeli minyak sawit dengan harganya yang lebih rendah.

“Ini (pengecualian cukai) merupakan pakej yang menarik dan tepat pada masanya dan akan memanfaatkan keseluruhan industri,” kata Ahmad Parveez.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa komoditi itu adalah mencukupi untuk kegunaan di peringkat tempatan.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa mengunjurkan Malaysia menerima eksport MSM yang tinggi ke India dan Pakistan.

“Niaga hadapan MSM menerima galakan selepas pengumuman (PENJANA). Malaysia boleh menjangka eksport MSM yang tinggi ke negara-negara seperti India dan Pakistan dan harga eksport MSM Malaysia akan mempunyai kelebihan daya saing berbanding Indonesia,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengukuhan ringgit berbanding dolar US dijangka mengurangkan kelebihan daya saing itu.

Ketika ditutup pada Jumaat, unit tempatan meningkat semula berbanding dolar US kepada 4.2640/2700 daripada 4.2740/2810 pada Khamis.

Mengulas mengenai rancangan India untuk mempromosikan penanaman sawit di peringkat domestik berikutan menjana hasil tinggi sebanyak empat tan sehektar, Sathia berkata pengeluaran sawit di negara itu adalah kecil sahaja.

“Sebanyak 70 peratus bergantung kepada import minyak makan dengan sawit adalah bahagian terbesar, diikuti minyak kacang soya,” katanya.

Tahun lepas, Malaysia mengeksport 18.46 juta tan minyak sawit berbanding 16.48 juta tan pada 2018. Tiga pembeli utama ialah India iaitu 4.4 juta tan (2018: 2.51 juta tan), China (2.49 juta tan; 2018:1.85 juta tan) dan Pakistan (1.08 juta tan; 2018:1.16 juta tan).

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]