KUALA LUMPUR, 28 Mei -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjelaskan kaedah prorata yang digunakan untuk pelarasan bil elektrik sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan menyebabkan pengguna dikenakan caj yang berlebihan.
Ketua Pegawai Runcit TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kaedah prorata itu telah disemak dan disahkan oleh Suruhajaya Tenaga supaya pengguna mendapat bil yang tepat.
Beliau berkata, pelarasan menggunakan kaedah prorata itu dilakukan setelah TNB mendapat bacaan sebenar melalui operasi bacaan di tapak yang dimulakan secara berperingkat pada 15 Mei lepas dan kemudiannya diselaraskan dengan bil-bil anggaran yang terdahulu.
"Contohnya, ada pengguna yang terima bil-bil anggaran pada Mac, April, Mei dan bil sebenar pada Jun, kesemua bil itu akan diselaraskan. Contohnya, penggunaan bil 1,400kwh akan dibahagikan dengan empat bulan, kemudian didarabkan mengikut blok tarif sedia ada mengikut penggunaan yang tertera.
"Oleh itu, untuk sebulan sebanyak RM102.80 (RM411.20 untuk empat bulan). Jika tidak menggunakan kaedah ini, jumlah yang tertera ialah RM681," katanya ketika mengulas dakwaan isu bil elektrik yang tinggi sepanjang tempoh PKP ketika ditemubual di Buletin Bernama di sini hari ini.
Selain itu katanya, TNB juga akan memberikan diskaun kepada 7.5 juta pengguna berdasarkan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan mengikut kadar yang telah ditetapkan iaitu 50 peratus, 25 peratus,15 peratus dan dua peratus.
"Kadar tertinggi akan diberikan kepada kumpulan B40 dan M40 yang merupakan 85 peratus pengguna kediaman bagi meringankan beban mereka," katanya.
Sementara itu, sebagai tanda peka dengan situasi luar biasa yang dialami pengguna, beliau berkata TNB telah menyediakan pelan bayaran mudah dengan memberi pilihan kepada pengguna untuk menjelaskan bayaran bil yang tertunggak semasa PKP secara ansuran bulanan sehingga Disember 2020.
"Bagi pengguna yang hendak membayar penuh pun boleh. Kami juga tidak mengenakan caj lewat bayar sehingga September 2020, tidak akan memotong bekalan elektrik sehingga Julai 2020," katanya.
Beliau berkata bermula 1 Jun ini, TNB akan memulakan semula operasi Kedai Tenaga di Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan bagi memudahkan urusan setiap pengguna, manakala 92 Kedai Tenaga di sembilan negeri telah memulakan operasi selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
"Pengguna juga boleh membuat bayaran secara dalam talian dengan merujuk kepada portal TNB atau aplikasi TNB atau cawangan ejen-ejen yang disahkan TNB seperti Bank Simpanan Nasional dan Kedai Mesra Petronas selain menghubungi talian TNB CareLine 1-300- 88-5454," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]