Berita

KeTSA tawarkan 1,000MW kuota solar di bawah program LSS@MenTARI

Dr Shamsul Anuar Nasarah

IPOH, 28 Mei -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) akan membuka proses bidaan secara kompetitif untuk Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui (LSS@MenTARI) mulai 31 Mei ini untuk tempoh tiga bulan.

Menteri berkenaan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata menerusi LSS@MenTARI, sebanyak 1,000 megawatt (MW) kuota solar ditawarkan melalui proses bidaan dan hanya dibuka kepada syarikat milik tempatan sepenuhnya atau sekurangnya-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan untuk syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

Katanya tawaran kuota kali ini adalah yang terbesar di bawah program LSS yang mana sebanyak 370MW solar ditawarkan semasa LSS-1, LSS-2 (520MW) dan LSS-3 (500MW), dan langkah itu bertujuan memulihkan dan merangsang ekonomi yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19.

"Ia juga bertujuan merancakkan pembangunan industri pembekalan elektrik negara khususnya Tenaga Boleh Diperbaharui," katanya dalam sidang media mengenai LSS@MenTARI di pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Perak di sini, hari ini. 

Shamsul Anuar berkata kementerian menetapkan kapasiti maksimum yang boleh dibida oleh setiap pemaju diturunkan daripada 100MW sebelum ini kepada hanya 50MW bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengiat industri solar membuat bidaan.

"Setiap pemaju boleh mengemukakan maksimum tiga bidaan sahaja. Tempoh serahan dokumen adalah tiga bulan berbanding enam bulan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan sebelum akhir 2020," katanya sambil memaklumkan maklumat lanjut akan dikeluarkan oleh pihak ST dalam masa terdekat.

Beliau berkata kementerian menjangkakan program LSS@MenTARI akan menarik pelaburan sebanyak RM4 bilion dan menjana 12,000 peluang pekerjaan kerana 1MW solar boleh mewujudkan sebanyak 12 peluang pekerjaan.

Menurut Shamsul Anuar, loji-loji jana kuasa di bawah program LSS@MenTARI dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Dis, 2023 berikutan pembangunan setiap loji mengambil masa sehingga 18 bulan.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]