Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2020 merekodkan penurunan bulanan terbesar sejak November 1991 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu mulai 18 Mac bagi membendung penularan COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan krisis-krisis ekonomi global yang berlaku sebelum ini, didapati apa yang dijangkakan oleh IP untuk empat hingga enam bulan ke hadapan mencerminkan realiti kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku.
Dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Mac 2020 hari ini, Mohd Uzir berkata IP terus menurun kepada negatif 4.9 peratus pada Mac 2020 daripada negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan dalam sektor Pembuatan (-1.7 peratus) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (-1.6 peratus).
Pada masa yang sama, perubahan tahunan IP merekodkan negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berbanding 1.7 peratus pada Februari 2020.
Kemerosotan mendadak IP mencerminkan penutupan dalam aktiviti perniagaan bukan keperluan utama berikutan sekatan yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mengekang pandemik COVID-19.
“Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka akan mengalami kelembapan ketara dalam masa terdekat,” kata Mohd Uzir.
Sementara itu dalam sidang akhbar, Mohd Uzir berkata IP bagi Malaysia dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan trend yang sama dengan kedua-dua indeks menunjukkan kemerosotan pergerakan ekonomi pada Mac berbanding bulan yang sama pada 2019.
Prestasi ini adalah seiring dengan Amerika Syarikat (AS), Australia, Korea, Indonesia dan Jepun.
IP merupakan petunjuk hala tuju ekonomi dalam beberapa bulan ke hadapan.
IP tahun ke tahun Malaysia mencatat penurunan kepada negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berikutan penurunan jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (-6.3 peratus), Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (-10.4 peratus, Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-17.8 peratus), Bilangan Syarikat Didaftar (-39.5 peratus), Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (-58.6 peratus), Penawaran Wang Besar M1 (8.1 peratus) dan Import Benar Semi Konduktor (12.1 peratus).
Bagi IP bulan ke bulan, negara-negara seperti Malaysia, United Kingdom, Jerman, AS, Brazil, zon Eropah, Australia, Korea Selatan dan Sepanyol merekodkan penyusutan, kecuali China.
Penurunan IP bulan ke bulan bagi Malaysia adalah disebabkan jangkaan Nilai Jualan, Pembuatan (-1.7 peratus), Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (-0.5 peratus, Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-1.0 peratus), Bilangan Syarikat Didaftar (-1.6 peratus), Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (sifar peratus), Penawaran Wang Besar M1 (1.0 peratus) dan Import Benar Semi Konduktor (-1.1 peratus).
Mohd Uzir berkata ujian larian koordinasi yang menggunakan data siri masa oleh Jabatan Perangkaan mendapati isyarat ketepatan untuk menjangkakan kemelesatan adalah 80 peratus.
Beliau memberikan contoh semasa Krisis Kewangan Asia 1998, IP telah memberi isyarat hala tuju ekonomi bagi tiga bulan ke hadapan.
Selain itu, ketika krisis ekonomi Dot-com Bubble 2002, IP telah memberi isyarat kemelesetan 10 bulan ke hadapan, manakala IP turut menjejaki Krisis Kewangan 2008, Krisis Hutang AS serta Krisis Hutang zon Eropah 2009 dan menjangkakan kemelesetan dua bulan ke hadapan.
Ekonomi Malaysia dijangka terjejas pada suku kedua berbanding suku ketiga berikutan pandemik itu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sebahagian besar PKP adalah pada suku kedua. Pada suku pertama, ia bermula pada 18 Mac iaitu kira-kira dua minggu, namun, jika kita melihat pada suku kedua, pada Mei, kita telah mula melaksanakan PKPB,” katanya.
Mohd Uzir berkata peningkatan ekonomi bergantung kepada pertumbuhan sektor-sektor di Malaysia, dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti faktor luaran dan permintaan yang konsisten.
“Ini yang perlu kita lihat sama ada pengukuhan ekonomi pada suku ketiga kelak akan berdasarkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif oleh kerajaan,” katanya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata separuh kedua tahun ini adalah lebih baik berbanding separuh pertama.
“Ekonomi negara akan tumbuh dengan kadar bersesuaian jika 1.2 juta perniagaan kembali cergas seawal mungkin,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]