Berita

FGV Holdings rancang tingkatkan pulangan daripada tenaga boleh diperbaharu



KUALA LUMPUR, 18 Mei -- FGV Holdings Bhd (FGV) merancang untuk meningkatkan pulangan daripada projek tenaga boleh diperbaharu sebagai sebahagian strategi pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata usaha ‘daripada sisa kepada kekayaan’ itu telah menjadi elemen penting perniagaan FGV memandangkan terdapat banyak sumber yang boleh diperoleh daripada aktiviti perladangan dan kilang.

“Ini termasuk menghasilkan bahan bakar biogas (gas, pepejal dan cecair) untuk menghasilkan tenaga.

“Inisiatif ini dapat ditingkatkan lagi sebagai sebahagian strategi pemulihan syarikat selepas COVID-19. Kami sedang mengkaji inisiatif di bawah segmen ini untuk menghasilkan pelan yang kukuh agar dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut FGV antara projek segera yang dapat dilaksanakan adalah perniagaan penjanaan tenaga melalui pemerangkapan biogas di kilang kelapa sawit FGV.

Biogas digunakan sebagai bahan bakar untuk penjanaan elektrik melalui enjin biogas bagi membekalkan elektrik ke Grid Nasional melalui mekanisme Tarif Galakan (FIT) yang ditadbir oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), kata FGV.

Ia berkata biogas juga digunakan secara meluas untuk bekalan elektrik luar bandar di Sabah yang menjana tenaga elektrik kepada rumah peneroka di Felda Sahabat, Felda Cenderawasih dan Felda Umas.

FGV berkata kilang FGV Serting Hilir di Negeri Sembilan adalah projek FIT pertama di Malaysia yang mencapai Tarikh Operasi Komersial pada 2006 diikuti kilang Tenggaroh, Maokil dan Nitar di Johor serta yang terbaru, kilang Triang dan Keratong 9 di Pahang menyumbang bekalan ke Grid Nasional tahun ini.

FGV juga melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos di seluruh syarikat dari segi penjimatan bahan bakar di kilang dan loji menerusi projek tenaga boleh diperbaharu.

Contohnya, loji MSM Malaysia Holdings Berhad (syarikat bersekutu FGV) di Tanjung Leman, Johor boleh beroperasi dengan menggunakan tandan buah kosong (EFB) yang dibekalkan dari kilang kumpulan di Johor dan ini akan menghasilkan penjimatan elektrik tahunan bernilai RM60 juta, menurutnya.

Ia berkata FGV juga akan mengeksport tempurung isirung sawit (PKS) ke Jepun sebagai bahan bakar bio dengan penghantarannya dijangka tahun ini.

“PKS digunakan secara meluas untuk loji tenaga biomas di seluruh Jepun bagi tenaga elektrik sejajar dengan inisiatif kerajaan mereka dalam menggalakkan tenaga boleh diperbaharu.

“Inisiatif boleh diperbaharu kerajaan Jepun untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil pada 2012 telah meningkatkan permintaan, dengan import PKS oleh Jepun mencecah hampir tiga kali ganda sejak 2015 kepada 1.3 juta tan pada 2018, justeru, menawarkan peluang besar kepada FGV untuk menerokai dan menembusi pasaran PKS Jepun, mendahului dalam persaingan dengan Indonesia,” menurut FGV.

Syarikat itu berkata ia juga melaksanakan pelan usaha sama untuk membangunkan loji pulpa dan kertas EFB, berpotensi di Kuantan, Pahang yang dijangka siap pada 2022/2023 dan akan menggunakan di antara setengah juta dengan satu juta tan EFB setiap tahun.

Susulan kejayaan loji gas asli bio-mampat (Bio-CNG) pertama di Kilang Kelapa Sawit Sungai Tengi, Selangor, FGV merancang untuk membina loji Bio-CNG/Bio-Gas Asli Cecair di 35 kilang minyak sawitnya yang berpotensi melalui pelaburan luar.

“Selain projek FIT, loji pengekstrakan minyak serat sawit, biogas dan projek utiliti tenaga boleh diperbaharu di Sabah, yang juga melibatkan pihak luar,” kata FGV.

Haris Fadzilah berkata inisiatif itu turut sejajar dengan rancangan Industri Pembekalan Tenaga Malaysia 2.0 (MESI 2.0) untuk mempunyai 20 peratus tenaga boleh diperbaharu dalam campuran tenaga menjelang 2025.

Bahagian Tenaga Boleh Diperbaharu di bawah FGV Palm Industries Sdn Bhd terdiri daripada produk sampingan, tenaga boleh diperbaharu dan projek pelaburan sifar berkaitan dengan biomas yang dihasilkan dari kilang kelapa sawit.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]