Berita

Serba Dinamik dan MTDC lancar dana transformasi inovatif untuk pemula niaga



KUALA LUMPUR, 5 Mei --  Serba Dinamik  Group Berhad (SDGB) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah melancarkan Dana Transfromasi Inovatif (Innovative Transformation Seed Fund) bernilai RM6 juta untuk menggalakkan syarikat pemula niaga baharu yang terlibat dalam inovasi digital atau perniagaan untuk mengkomersialkan idea mereka melalui model perniagaan yang jelas.

Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya mengenai Dana Transformasi Inovatif ditandatangani antara kedua-dua pihak hari ini untuk mendorong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga digital di Malaysia, dengan memberikan panduan dan bimbingan kepada usahawan baharu untuk transformasi inovatif.

"Kerjasama ini membantu syarikat pemula niaga teknologi era baharu di negara ini, dengan memfokuskan kepada teknologi masa depan seperti Kecerdasan Buatan, 5G, Data Raya, Keselamatan Siber, Lejar Digital Terbuka, Internet Pelbagai Perkara, Pembelajaran Mesin untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan digital di seluruh rangkaian global,” kata SDGB dan MTDC dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Hari ini, SDGB dan MTDC mengadakan majlis MoU secara maya buat kali pertama yang turut dihadiri Pengarah Urusan kumpulan SDGB, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus.

Kenyataan bersama itu berkata sebagai sebahagian daripada kerangka pertumbuhan komprehensif yang digariskan dalam MoU, MTDC akan melibatkan SDGB dalam membantu usahawan pemula niaga teknologi baharu di Malaysia untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan digital yang berkaitan dengan urusniaga yang dicadangkan.

"SDGB juga akan bertanggungjawab untuk berkongsi idea dan maklumat mengenai pembangunan syarikat pemula niaga dan usahawan baharu di bawah ekosistem MTDC mengenai urusniaga yang dicadangkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Abdul Karim berkata kerjasama itu merupakan fasa pertama bagi kedua-dua organisasi untuk perkongsian dalam program pembangunan usahawan kebanyakannya di Sarawak dan akan diteruskan secara berperingkat ke Semenanjung Malaysia.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan MTDC untuk membimbing bakat-bakat tempatan bagi memanfaatkan potensi pertumbuhan besar yang ditawarkan di rantau ini dan dengan inisiatif ini, ia dapat menjadi peluang mengembangkan operasi di peringkat antarabangsa," katanya.

Norhalim berkata MTDC akan memperluaskan peluang kerjasama kepada pakar inovasi pemula niaga di Malaysia untuk terlibat dengan cabang penyelidikan dan pengembangannya bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai teknologi digital dan menanamkan budaya pemikiran inovatif.

"Kami juga akan merancang dan mengembangkan program, termasuk latihan, berkongsi ilmu pengetahuan, program pembangunan dan program-program lain yang akan menguntungkan kerjasama itu selain daripada menyediakan pemindahan pengetahuan dan kepakaran untuk pengembangan pemindahan teknologi, pengkomersialan dan keusahawanan", katanya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]