KUALA LUMPUR, 16 April -- Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam (ICM) termasuk sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dan pusat dana Islam yang terkemuka bagi dana dan pengurusan kekayaan Islam.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan hari ini berkata pada 2019, ICM mewakili 63.57 peratus daripada pasaran modal Malaysia dengan saiz pasaran sebanyak RM2.04 trilion setakat Disember tahun lepas yang merupakan pertumbuhan sebanyak 8.23 peratus berbanding 2018.
Tahun 2019 turut menyaksikan terbitan sukuk bernilai RM102.39 bilion atau 77.09 peratus daripada jumlah terbitan korporat manakala Aset di Bawah Pengurusan (AUM) Islam di negara ini berjumlah RM180.52 bilion atau 21.93 peratus daripada industri pengurusan dana.
Sekuriti patuh Syariah merangkumi 64.06 peratus daripada jumlah permodalan pasaran ekuiti dan bernilai sebanyak RM1.1 trilion, kata SC.
“Industri pengurusan dana Islam juga menyaksikan penawaran produk pelaburan baharu dan berinovatif.
“Ini termasuk Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam berasaskan emas, dana Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab Islam serta Sukuk sosial dan hijau,” katanya.
Malah, setakat Disember 2019, terdapat 23 syarikat pengurusan dana Islam yang menawarkan perkhidmatan penuh.
Selain itu, bagi memudahcarakan pembangunan suatu konsep wakaf yang dikaitkan dengan pasaran modal, SC turut mengkaji untuk memanfaatkan produk pelaburan seperti skim pelaburan kolektif yang mana pulangan yang dijana akan disalurkan kepada projek atau inisiatif wakaf.
“SC juga sedang membangunkan struktur dana wakaf untuk rujukan pengurus dana yang berminat untuk menerbitkan produk sedemikian dengan mengambil kira keputusan daripada perundingan terperinci bersama industri.”
Dalam pada itu, SC juga telah melesenkan Wahed Technologies sebagai firma pengurus pelaburan digital Islam (DIM) pertama di Malaysia pada 9 Ogos 2019, berikutan saranan Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam (IFWMB) untuk memudahkan model, produk dan perkhidmatan perniagaan digital Islam yang baru di negara ini.
Ini bagi menyediakan para pelabur akses kepada pelbagai portfolio patuh Syariah secara cekap serta telus dan memudahcarakan hubungan dengan pasaran antarabangsa menerusi syarikat induknya, Wahed Invest yang beroperasi di lebih 130 negara.
SC melancarkan IFWMB bagi tempoh lima tahun pada 2017 untuk merangka hala tuju strategik bagi industri dana dan pengurusan kekayaan Islam di Malaysia.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]