Berita

Firma penyelidikan positif terhadap Serba Dinamik



KUALA LUMPUR, 16 April -- Firma penyelidikan mengekalkan pendirian positif mereka terhadap  Serba Dinamik  Holdings Bhd selepas syarikat itu meraih projek bernilai RM7.7 bilion di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam nota penyelidikan hari ini, Public Investment Bank berkata kejayaan tersebut membuktikan keupayaan kumpulan itu yang kukuh dalam meningkatkan nilai perolehan kontraknya, walaupun dengan persekitaran ekonomi global semasa berikutan pandemik COVID-19.

“Dengan kontrak ini,  Serba Dinamik  meraih sejumlah RM8.6 bilion nilai projek pada tahun ini, dijangka mencapai sasaran nilai perolehan kontrak sebanyak RM15 bilion pada akhir 2020. Ini mengesahkan pendirian positif kami terhadap saham dan prospek pendapatannya pada masa depan.

“Kami mengekalkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2020-2022 kami (selepas mengambil kira ini sebagai pertambahan) dan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.66,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Research turut positif mengenai pemerolehan kontrak itu, berikutan ia menunjukkan usaha syarikat tersebut yang berterusan untuk pertumbuhan dan fleksibiliti untuk tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas, terutamanya apabila sektor itu menghadapi kemerosotan.

Dalam nota berasingan, AffinHwang Capital berkata dengan meraih kontrak itu, nilai perolehan kontrak terkumpul  Serba Dinamik  pada masa ini sebanyak RM17 bilion telah mengatasi sasaran akhir tahun pengurusan itu sebanyak RM15 bilion.

“Dengan terdapat lebih separuh tahun lagi, kami yakin nilai perolehan kontrak itu akan meningkat, didorong oleh prospek di Malaysia, terutamanya Sarawak. Kami tidak membuat perubahan kepada unjuran pendapatan kami.

“Nilai perolehan kontrak  Serba Dinamik  telah mengatasi jangkaan kami, tetapi pengiktirafan keuntungan daripada projek baharu ini dijangka bermula hanya pada tahun kewangan 2021,” katanya.

 Serba Dinamik  telah meraih kontrak bernilai RM7.7 bilion daripada Investments L.L.C untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan hab inovasi, kampus akademik, infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan kemudahan yang berkaitan di Abu Dhabi.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]