Berita

Peningkatan kapasiti, pengoptimuman rangkaian untuk tampung permintaan tinggi jalur lebar - Saifuddin

File pix

KUALA LUMPUR, 14 April  -- Peningkatan kapasiti dan pengoptimuman rangkaian sedang giat dijalankan bagi menampung permintaan tinggi jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kementeriannya, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak pemberi perkhidmatan telekomunikasi, sedang giat memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan RM400 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). 

Antara usaha yang dilakukan ialah melaksanakan pengoptimuman rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan yang mempunyai penggunaan tinggi serta melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang meningkat di premis kediaman.

"Selain itu, menaik taraf sambungan ‘backhaul’ tanpa wayar kepada sambungan gentian optik, meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik, termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu selain meningkatkan jalur lebar sambungtara serta mengguna pakai kapasiti rizab turut dilaksanakan," menurutnya dalam satu kenyataan. 

Menyediakan stesen pemancar mudah alih serta akses Wi-Fi untuk menangani isu berkaitan trafik rangkaian di kawasan kritikal serta meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa juga antara usaha yang dilakukan bagi menampung permintaan jalur lebar, kata beliau. 

Saifuddin berkata sepanjang proses penambahbaikan ini, SKMM memantau prestasi rangkaian dan memudah cara sebarang cabaran yang dihadapi oleh pemberi perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka.

Beliau turut mengambil maklum bahawa permintaan terhadap jalur lebar telah melonjak tinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana rakyat Malaysia kini bergantung kepada Internet untuk menjalankan kebanyakan aktiviti mereka dari rumah.

"Ini termasuk bekerja dari rumah, pembelajaran maya, pembelian dalam talian, hiburan dan sebagainya. Selain itu, kapasiti jalur lebar juga diperlukan untuk menampung keperluan tambahan di lokasi-lokasi kritikal seperti hospital, pusat kuarantin, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media," katanya.

Menurut perangkaan SKMM, aliran trafik Internet telah meningkat sebanyak 23.5 peratus pada minggu pertama PKP, peningkatan sebanyak 8.6 peratus pada minggu kedua PKP manakala pada minggu ketiga PKP pula, aliran trafik Internet telah menurun sebanyak 1.6 peratus.

"Trend ini menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun, yang memberi kesan kepada pengalaman pengguna. Saya amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh rakyat apabila akses kepada Internet tidak memuaskan pada waktu-waktu tertentu," katanya. 

Pelbagai langkah telah diambil untuk menampung permintaan tinggi jalur lebar dalam kalangan rakyat terutama sepanjang pelaksanaan PKP agar tugasan harian dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan, termasuk pemberian Internet berkelajuan tinggi percuma dengan kapasiti 1GB.

Selain itu, perkhidmatan jalur lebar tetap ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang had data bagi menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan masa mereka sepenuhnya di rumah. 

"Saya menyeru agar rakyat Malaysia dapat bersabar dan memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak industri dalam melaksanakan usaha-usaha penambahbaikan jalur lebar secara berterusan demi kebaikan bersama.

"Saya yakin kesalinghubungan digital yang berdaya tahan bakal menanti rakyat apabila semua inisiatif yang dirancang oleh kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk kesejahteraan semua," kata Saifuddin. 

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]