KUALA LUMPUR, 14 April -- Malaysia mencadangkan ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 bagi memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan, bahkan jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.
Perkara itu disuarakan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 yang diadakan hari ini menerusi persidangan video dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan disertai ketua-ketua kerajaan 10 anggota pertubuhan serantau itu.
Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN itu perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.
“Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan; di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, semua negara menghadapi masalah yang sama dan negara-negara anggota ASEAN perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada yang tercicir.
ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.
Kenyataan itu memaklumkan Malaysia menyeru negara anggota ASEAN agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini.
“ASEAN tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia,” kata kenyataan itu.
Malaysia juga menyokong pengwujudan COVID-19 ASEAN Response Fund (Dana Khas COVID-19 ASEAN) untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.
Menurut kenyataan itu, ASEAN perlu terus membangunkan rizab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rizab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan.
Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN yang diterajui Malaysia seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.
“Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota ASEAN yang lain,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]