Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 2 April -- Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, dipacu oleh prestasi kaunter-kaunter saham berkaitan minyak dan gas berikutan peningkatan harga minyak mentah.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 8.24 mata atau 0.62 peratus kepada 1,330.90 daripada 1,322.66 sewaktu ditutup pada Rabu.
Sewaktu dibuka, FBM KLCI susut 2.04 mata kepada 1,320.62 dan berlegar dalam jajaran 1,316.94 hingga 1,332.61 sepanjang dagangan hari ini.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 671 berbanding 203 manakala 308 kaunter tidak berubah, 739 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat iaitu 5.14 bilion saham bernilai RM2.43 bilion berbanding 4.74 bilion saham bernilai RM2.77 bilion, semalam.
Remiser Maybank Investment Bank Bhd, Jeffry Azizi Jaafar berkata minyak mentah penanda aras global Brent melonjak sehingga 12 peratus kepada US$27.88 setong yang terbukti mendorong sentimen pelabur di pasaran.
“Minyak mentah Brent itu meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan berkata bahawa beliau menjangkakan Arab Saudi dan Rusia mencapai persetujuan tidak lama lagi dan menamatkan perang harga di antara kedua-duanya.
“Pada masa sama, Presiden Rusia Vladimir Putin juga dilaporkan menggesa penyelesaian bagi menangani pasaran minyak mentah yang mencabar,” katanya kepada Bernama.
Menurut Jeffry Azizi, aktiviti membeli saham berharga rendah turut dilihat dalam beberapa stok berkaitan tenaga dan teknologi hari ini selain menambah sentimen positif yang didorong oleh pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan di peringkat global, baru-baru ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Dagangan dan Petronas Gas mendahului keuntungan dicatatkan dalam kaunter berkaitan indeks.
Malah, kedua-dua kaunter berkaitan minyak dan gas juga muncul sebagai kaunter paling untung di bursa tempatan.
Petronas Dagangan melonjak RM1.32 kepada RM21.70 manakala Petronas Gas untung 34 sen kepada RM15.30 dan Press Metal, Public Bank dan Genting masing-masing meningkat 12 sen kepada RM3.18, RM15.80 dan RM3.88.
Nestle muncul kaunter paling untung yang melonjak RM1.70 kepada RM137.80, QL Resources naik 40 sen kepada to RM7.90, Heng Yuan meraih 32 sen kepada RM2.78 manakala Petron Malaysia dan Serba Dinamik masing-masing naik 29 sen kepada RM3.35 dan RM1.79.
Kaunter paling aktif pula didominasi yang berkaitan minyak dan gas iaitu Sapura Energy naik 1.5 sen kepada sembilan sen, Hibiscus untung 9.5 sen kepada 43 sen dan Velesto mengukuh 4.5 sen pada 16.5 sen manakala Armada dan Alam Maritim menokok masing-masing tiga sen kepada 16.5 sen dan 7.5 sen.
Indeks FBM Emas menambah 99.57 mata kepada 9,185.75, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 134.54 mata kepada 10,057.93 dan Indeks FBMT 100 naik 87.66 mata kepada 9.096.53.
FBM 70 melonjak 233.56 mata kepada 10,744.76 manakala FBM Ace naik 73.30 mata kepada 3,966.48.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.35 mata kepada 104.89, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.54 mata kepada 12,076.99 dan Indeks Perladangan meraih 19.0 mata kepada 6,126.28.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.29 bilion saham bernilai RM2.22 bilion daripada 3.64 bilion saham bernilai RM2.47 bilion pada Rabu.
Jumlah waran bagaimana pun susut kepada 320.69 juta unit bernilai RM96.84 juta berbanding 371.73 juta unit bernilai RM99.24 semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 531.76 juta saham bernilai RM112.11 juta daripada 721.70 juta saham bernilai RM192.26 juta, semalam.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 316.95 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (412.51 juta), pembinaan (229.27 juta), teknologi (269.62 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.67 juta), hartanah (232.72 juta), perladangan (52.84 juta), REIT (21.74 juta), dana tertutup (23,000), tenaga (2.50 bilion), penjagaan kesihatan (39.44 juta), telekomunikasi dan media (52.20 juta), pengangkutan dan logistik (71.71 juta) dan utiliti (31.87 juta).
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]