Berita

Bunyi letupan lebih kuat dari guruh kejutkan penduduk Kampung Lepau dekat Pengerang



KOTA TINGGI, 16 Mac -- Bunyi letupan daripada kebakaran yang berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di sini, malam tadi, disifatkan lebih kuat daripada bunyi guruh sehingga mengejutkan penduduk Kampung Lepau, yang tinggal berdekatan dengan kawasan itu.

Seorang penduduk Suhailah Bachok, 32, berkata lokasi kejadian hanya kira-kira lima kilometer dari rumahnya menyebabkan bunyi letupan berkenaan dapat didengar secara jelas.

“Saya sedang menonton televisyen apabila terdengar bunyi letupan. Ia (bunyi) tidak lama, hanya dalam seminit dua.

“Jiran-jiran pun mendengar bunyi yang sama, menyebabkan kami beramai-ramai keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati ada kebakaran di PIC,“ katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Suhailah berkata letupan malam tadi merupakan kejadian kali kedua berlakunya di PIC yang turut mengakibatkan beberapa rekahan di bahagian syiling ruang tamu dan bahagian dapur rumahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lepau, Zainal Abidin Abdul Rahim, 56, berkata kejadian kali ini tidak seteruk letupan yang berlaku pada April tahun lepas.

“Cumanya, bunyi memang kuat seperti guruh dan cermin tingkap pula bergegar.

“Setakat ini, penduduk belum membuat laporan tentang rumah mereka retak namun begitu saya tidak menolak mungkin ada berlaku retakan semula akibat letupan malam tadi,” katanya. 

Kebakaran Diesel Hydro Treater unit di Pintu 1, PIC, pada 10.50 malam tadi, telah mengorbankan lima nyawa manakala seorang lagi melecur 40 peratus. Seorang lagi terselamat.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]