Berita

Kerajaan lulus peruntukan RM200 juta bina Empangan Jernih - KM Melaka



ALOR GAJAH, 11 Mac  -- Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM200 juta iaitu tambahan RM36 juta untuk pembinaan Empangan Jernih di sini bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terdahulu telah memberi kelulusan peruntukan tambahan melalui surat bertarikh 14 Feb lalu. 

“Jumlah yang diluluskan itu meliputi skop projek pembinaan struktur empangan, menara kawalan, alur limpah dan stesen Tenaga Nasional Berhad, kolam tadahan air dan jalan masuk ke empangan baharu itu. 

“Kami harap dengan adanya pembinaan empangan berkapasiti takungan 13,000 juta liter sehari sumber air mentah ini dapat menyokong keperluan penambahan penduduk sehingga 2030 kelak,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan paras air semasa Empangan Durian Tunggal di sini hari ini. 

Terdahulu beliau dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad, Zainal Abidin Ab Rahman melawat Empangan Jus di Jasin.

Sulaiman berkata Bahagian Bekalan Air di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dijangka akan membuat tawaran tender bagi projek Empangan Jernih yang dijangka mengambil masa 30 bulan itu selewat-lewatnya bulan depan (April) dan ia akan dimulakan setelah proses tender selesai.

Beliau berkata setakat hari ini Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 16.1 peratus kadar air dengan kapasiti 4,970 juta liter, diikuti Empangan Jus 24.2 peratus berkapasiti 10,475 juta liter manakala Empangan Asahan 68.9 peratus dengan kapasiti 480 juta liter.

Sebelum ini, catuan bekalan air di Melaka dilaksana bagi tempoh dua minggu pertama bermula 29 Jan lepas membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk dan diteruskan bagi fasa kedua pada 10 Feb melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

Catuan air terus dilanjutkan pada fasa ketiga mulai semalam ekoran paras air di tiga empangan utama masih belum mencatatkan peningkatan seterusnya untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering.

Melaka pada masa ini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di sini.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]